13 Mei 2015


Lebih 6,000 warga Bangladesh dan pelarian etnik Rohingya dari Myanmar dikesan masih berada di tengah laut dan bersedia masuk ke negara ini pada bila-bila masa.

Daripada jumlah tersebut, sebahagian daripada mereka berjaya di­selamatkan pihak berkuasa termasuk dari negara jiran.

Menurut sumber, kesemua mangsa dibawa masuk oleh sindiket yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di samping perlu membayar sejumlah wang antara RM7,000 hingga mencecah puluhan ribu bagi membolehkan mereka masuk dan bekerja di sini.

Kata sumber, mangsa yang tiba di sempadan negara melalui Thailand akan dijemput oleh sindiket sebelum dibawa ke sebuah tempat perlindungan sementara dan kemudiannya akan dihantar ke tempat lain untuk bekerja.

“Bagaimanapun, anggota sindi­ket terbabit sebelum itu akan meminta kesemua mangsa membuat bayaran bagi mereka mendapatkan pekerjaan seperti yang dijanjikan.

“Sekiranya mereka enggan menjelaskan bayaran tersebut, mereka akan diugut selain turut diseksa anggota terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah sumber lagi, selain melalui jalan darat, kebanyakan mereka juga dibawa dengan menaiki bot secara haram dan sebahagian besar kini dilaporkan tersadai di tengah laut.

Kata sumber, apabila ditahan pihak berkuasa, pelarian tersebut didapati berada dalam keadaan tidak bermaya dan mendakwa sering dipukul serta dikasari oleh anggota sindiket.

Semalam, cubaan 1,051 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan Myanmar untuk memasuki negara ini gagal apabila mereka ditahan polis setelah bot yang dinaiki tersangkut di kawasan pemecah ombak berhampiran Hotel 4 Point, Jalan Sungai Kuala Muda, Padang Matsirat, Langkawi.

Difahamkan, selepas bot itu tersangkut, mereka diarahkan oleh tekong untuk terjun ke dalam laut dan berenang sejauh kira-kira 200 meter sebelum mendarat di Pantai Kuala Muda kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Kumpulan kedua PATI pula ditemukan di kawasan kuala sungai di Kuala Temoyong, Kedawang kira-kira 10 kilometer dari lokasi pertama kira-kira pukul 2.30 pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya mengesahkan perkara itu memberitahu, pihaknya turut giat mengesan anggota sindiket berkenaan yang dipercayai menjadi dalang kemasukan kumpulan PATI terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan agensi berita asing hari ini menyebut, Indonesia bertindak menunda bot-bot yang membawa ratusan pelarian dari Myanmar dipercayai etnik Rohingya dan Bangladesh yang ditemukan di kawasan perairan Aceh, semalam, keluar daripada perairan negara itu dan menghantarnya ke arah Malaysia.

Empat kapal tentera Indonesia membantu bot tersebut selepas ditemukan berdekatan Tanjung Jambu Aye, utara Aceh.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar ketika dihubungi berkata, pihaknya bersedia menunda semula bot-bot yang membawa ratusan pelarian tersebut jika benar dakwaan warga asing itu menuju perairan Malaysia

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!