7 Mei 2015


Garis panduan untuk memisahkan khalayak mengikut jantina, walaupun tujuannya betul, namun ia sebenarnya sukar dilaksanakan dalam konteks semasa.

Pandangan daripada penyanyi legenda yang juga aktivis agama Yusuf Islam itu disusuli penegasannya tentang keutamaan untuk mendahulukan soal kelakuan dan adab.

“Garis panduan itu saya rasakan sedikit janggal kerana jika anda pergi ke kompleks beli-belah, apa yang anda buat?

“Barangan yang dijual bukan semuanya dipisahkan mengikut keperluan jantina tertentu. Semua orang bercampur dan perkara itu berlaku secara semula jadi. Sama juga di panggung wayang,” ujar Yusuf ketika ditemui selepas menjayakan program Agenda AWANI pada Isnin.

Yusuf atau pernah dikenali sebagai Cat Stevens berpendapat garis panduan berkenaan agak sukar untuk dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu.

“Cuba kita lihat dari satu sudut pandang yang lain. Adalah lebih baik jika kita memupuk semua pihak agar mengutamakan adab terlebih dahulu sebelum mengenakan larangan atau melaksanakan peraturan ke atas mereka.

“Pastikan mereka dalam kelakuan yang betul. Sebelum sesuatu peraturan dibuat, hendaklah menjalankan proses mendidik yang berterusan.

“Bagaimana sikap kita semua di tempat awam adalah perkara yang amat penting untuk diberi perhatian,” jelasnya merujuk faktor kehidupan masyarakat berbilang kepercayaan.

Jelasnya, masyarakat perlu diberi sedikit kelonggaran dan dalam masa sama memastikan proses pendidikan akan membawa mereka ke arah yang lebih baik.

Menyentuh mengenai perkembangan muzik hari ini, Yusuf tidak menafikan bahawa kemajuan teknologi memudahkan produksi.

“Hanya perlu komputer riba dan tanpa memerlukan studio besar, pita atau mikrofon canggih, muzik boleh dihasilkan.

“Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa kemajuan produksi tidak seiring dengan perkembangan aspek penulisan lagu,” katanya.

Menurut personaliti yang kini bermastautin di Dubai itu, muzik zaman ini hanya disokong oleh bunyi dan imej.

“Kita melihat ramai bakat baharu yang boleh menyanyi dengan baik, berpenampilan menarik dan produksi yang bagus tetapi muzik yang dibawakan tidak banyak pengisian atau makna.

“Tatkala saya membesar, saya banyak mendengar muzik folk dan blues yang kebanyakannya membawa mesej tentang protes, dilema sosial seperti perhambaan, kerja dan kehidupan gelap.

“Semua lagu terkandung mesej. Lagu sekarang tidak ada,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!