13 Mei 2015


DIAM-diam ubi berisi. Itu antara perumpamaan yang sesuai untuk digambarkan buat pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Dunia Anita suatu ketika dahulu.

Siapa mampu melupakan kelincahan Siti Fazurina berlakon menerusi sitkom arahan Aziz M. Osman beberapa tahun lalu.

Namun, selepas membuat keputusan berkahwin dua tahun lalu dan terpalit dengan isu kontroversi, dia seakan ‘senyap’ seketika dalam dunia lakonan.

Baru-baru ini terlihat kelibatnya dalam satu majlis rasmi dan rasa ingin tahu menebal untuk bertanyakan perkembangan terbaharunya kini.

Selama ‘menghilangkan’ diri, rupa-rupanya dia kini sudah bergelar usahawan kerana sudah mempunyai butik menjual busana Muslimah yang terletak di Busana Mall, Kuala Lumpur, dengan menggunakan label Nina Fazurina Collections sekali gus menolak dakwaan kononnya merajuk.

“Sepanjang saya tidak berlakon, masa yang ada itu saya gunakan untuk berniaga. Akhirnya wujudlah sebuah butik untuk saya mencari punca pendapatan tetap.

“Fokus utama saya ialah perniagaan dan pakaian yang saya jual juga untuk semua peringkat usia termasuklah kanak-kanak. Semuanya itu saya uruskan sendiri bersama suami,” katanya yang kini berjinak-jinak dengan perniagaan kek dan biskut dengan label Nina Fazurina Cakes & Cookies.

Ketika temu bual, aktres berusia 33 tahun ini menyatakan hasratnya ingin kembali aktif dalam bidang yang diminatinya.

Mengakui, tempoh dua tahun tidak berlakon membuatkan dirinya agak kekok untuk berhadapan di depan kamera.

“Selepas perniagaan saya semakin stabil, ada terfikir juga nak buat kemunculan semula sebab sudah lama sangat tak aktif di hadapan kamera.

“Sebelum ini saya banyak dengar komen peminat yang mahu lihat saya kembali berlakon dan ternanti-nanti kehadiran saya di kaca televisyen. Itu antara penguat semangat saya untuk kembali semula.

“Gementar dan kekok itu memang tak dapat nak dielakkan sebab tempoh dua tahun itu sudah terlalu lama sangat tak berdepan dengan kamera. Apa pun saya sentiasa memperbaiki diri sebab ini antara bidang pertama yang saya ceburi.

“Insya-Allah kalau ada tawaran, saya terima apa sahaja rezeki berlakon dengan tangan terbuka. Kalau boleh saya kini mahukan watak yang lebih kepada Islamik, watak-watak yang beri pengajaran dan boleh membawa kebaikan kepada penonton,” tambahnya.

Sementelahan itu, tulang belakang iaitu suaminya sendiri, Hykal Zulkifli tidak pernah menghalang minatnya itu. Malah, tidak pernah meletakkan syarat untuk dia kembali aktif berlakon.

“Suami merupakan tulung belakang dalam kerjaya seni saya. Dia tak pernah nak halang saya berlakon.

“Suami bekerja dalam bidang pengurusan majlis dan jadual kerjanya fleksibel. Dia juga banyak tolong saya uruskan perniagaan saya,” tuturnya.

Ujarnya, keterujaan untuk berlakon semakin berkobar-kobar kerana dia bakal memasuki set penggambaran untuk filem kelimanya tidak lama lagi.

“Kalau tiada apa-apa halangan saya akan mula berlakon dalam sebuah filem selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Ini merupakan pertama kali saya pegang watak heroin walaupun sudah empat kali saya berlakon filem. Buat masa ini saya tak boleh kongsikan judul filem tersebut,” ungkapnya.

Sementara itu, mengulas pula kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga, kata Nina, dia hanya menyerahkan soal itu kepada Allah dan hanya mampu berdoa setiap hari agar dikurniakan cahaya mata.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!