29 Mei 2015


ALOR SETAR – Kegiatan pemerdagangan manusia di hutan Wang Kelian, Perlis dipercayai didalangi seorang lelaki Rohingya dikenali sebagai Yassin yang menjadi ejen besar membeli pelarian sebelum menjualnya kepada pihak tertentu di Malaysia.

Maklumat tersebut didedahkan sendiri oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia di Kedah, Yusof Ali (gambar kecil) yang memberitahu, kepala ejen sindiket berusia 30-an itu amat dikenali dalam kalangan pelarian Rohingya yang masuk ke Malaysia sebelum ini.

“Dia dikatakan sebagai ejen yang bertanggungjawab membeli warga Rohingya dan Bangladesh daripada sindiket di selatan Thailand dengan harga tertentu dan ditempatkan secara sementara di kem transit di Wang Kelian sebelum dijual kepada pihak lain,” dakwa Yusuf yang telah tinggal di negara ini sejak 20 tahun lalu.

Yusuf yang berasal dari sebuah bandar sempadan Myanmar-Bangladesh, Maungdaw turut mendedahkan, kem transit mangsa pemerdagangan manusia yang dijumpai pihak berkuasa Malaysia di Wang Kelian itu dipercayai beroperasi sejak dua hingga tiga tahun lalu.

“Disebabkan dia tinggal dan beroperasi di selatan Thailand, Yassin dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan ketua-ketua sindiket lain terdiri daripada rakyat Thailand atau rakyat Myanmar berbangsa Rakhine.

“Yassin kemudiannya akan menempatkan pendatang-pendatang yang baru dibelinya itu di lokasi seperti di kem transit di kawasan hutan di Wang Kelian sebelum diagih-agihkan kepada ejen-ejen kecil dengan bayaran tertentu untuk memperoleh keuntungan berlipat ganda,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!