30 Jun 2015


DI ERA kegemilangan kumpulan rock, Search, vokalisnya, Amy atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 57, pernah dilabelkan sebagai ‘orang gila’ dek identiti dan imej yang dibawanya.

Lebih menarik, kegilaan Amy serta pengaruh muzik rock beberapa kumpulan lain pernah dibincangkan secara serius di Parlimen apabila fenomena yang dibawakan Search didakwa menjadi penyebab penularan gejala sosial dalam kalangan anak muda tempatan.

Imej penyanyi dan pemuzik rock yang berambut panjang dilihat sebagai satu anasir yang memberi pengaruh negatif kepada masyarakat sehinggakan seorang menteri pada waktu itu telah mengharamkan penampilan sedemikian rupa untuk tontonan umum.

Ironinya, menteri itu sendiri yang telah menggunting rambut Amy dan momen itu disaksikan secara langsung menerusi sebuah program televisyen tempatan.

Ketika itu, Amy dan anggota kumpulan Search yang lain menjadi penanda aras terhadap kelakuan artis rock lain yang rata-rata dipandang serong oleh beberapa pihak.

Bagaimanapun, itu kisah lebih 20 tahun lalu. Kini peredaran masa merubah segalanya. Ibarat roda, hidup seseorang turut berputar. Kalau dahulunya dikenali sebagai pelesit, tidak mustahil di akhir hayat dia disegani para malaikat.

Begitulah perumpamaan untuk merujuk kepada Amy, dipuja dalam segala tindak tanduknya, disanjung sebagai idola, disebabkan pengaruh kuatnya dalam industri hiburan tempatan.

Kini, setelah melewati usia melebihi separuh abad, Amy pernah menyuarakan perencanaan yang bermain di kotak fikirannya. Pada awal tahun lalu, Amy menyatakan hasrat membuka sebuah sekolah tahfiz sebagai bekalan akhiratnya kelak.

Bertemu dengannya baru-baru ini, Amy memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana keinginannya itu dipermudahkan. Menamakan sekolah tahfiz berkenaan dengan nama Sekolah Al-Quran dan Hadis Al-Bayan, otai rock tersebut menguruskannya bersama rakannya, Ustaz Bilal Mohd. Sujak, 27.

“Ustaz Bilal merupakan guru mengaji saya sejak setahun lalu. 
Saya pernah menyuarakan niat saya ini kepadanya dan dia mempersetujui untuk bekerjasama dengan saya untuk merealisasikan impian tersebut.

“Selepas membuat segala perancangan dan persiapan, sekolah yang terletak di Saujana Utama, Sungai Buloh itu siap dibuka. Selepas dibuka, tanpa menunggu masa panjang, saya terus membuat permohonan mendapatkan sijil pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAIS),” ujarnya kepada Mega.

Tambah Amy, proses pendaftaran sekolahnya mengikut prosedur biasa. Selepas membuat pendaftaran, wakil JAIS membuat tinjauan ke sekolahnya termasuklah meneliti modul pembelajaran penuntut di situ.

“Selepas mereka berpuas 
hati dan mendapati tiada sebarang keraguan 
yang boleh merosakkan syiar Islam, barulah diberikan kelulusan. Dengan adanya sijil, menambahkan
 lagi keyakinan saya untuk lebih serius membangunkan sekolah ini.

“Kami masih baharu dan belum berkembang meluas. Ini bukanlah sekolah yang sudah ada nama, tetapi saya akan besarkan lagi operasinya. Insya-Allah selepas Aidilfitri kami akan berpindah ke lokasi lebih luas dan selesa di Denai Alam, Shah Alam,” katanya.
Bakti hujung hayat

Mengulas lanjut mengenai penubuhan sekolah berkenaan, Amy memberitahu bahawa setiap insan terutama seorang Muslim pasti mahu mencari bekalan untuk menempuhi alam seterusnya selepas meninggal dunia.

Katanya, apabila dia sudah tiada nanti, hanya dua benda yang mahu ditinggalkan. Pertama adalah suara nyanyiannya, manakala satu lagi adalah sekolah tahfiz itu yang menjadi bekalan akhirat.

Menceritakan sedikit mengenai sekolah tersebut, ia mengkhususkan pelajar daripada kalangan kanak-kanak yang berumur tujuh hingga 15 tahun. Dikelolakan sepenuhnya oleh Ustaz Bilal dari aspek pendidikan, pelajar dididik untuk menghafal al-Quran dan hadis selain diajar pendidikan Bahasa Arab dan beberapa mata pelajaran asas lain.

“Buat masa ini sejak ia dibuka setahun lalu, ia menempatkan 18 pelajar. Ini dilihat memadai dengan keadaan lokasi yang terhad. Bagaimanapun, selepas pengiktirafan yang diberikan JAIS, saya merancang untuk memperbesarkan lagi sekolah ini pada masa akan datang.

“Perkara pertama yang ingin saya lakukan adalah untuk mewujudkan perpustakaan yang lengkap di dalam sekolah berkenaan. Ia penting untuk mendidik pelajar selain bergantung kepada sesi pembelajaran formal,” katanya.

Menurut Amy, menyedari peranannya sebagai hamba Allah, selain membuat amal untuk diri sendiri, dia perlu berbuat sesuatu untuk masyarakat sekeliling. Apatah lagi dia seorang yang berpengaruh dan sewajarnya menggunakan kedudukan tersebut ke arah kebaikan.

Selagi ada kudrat, Amy menambah, dia mahu membuat bermacam-macam lagi kebajikan yang bukan sahaja bermanfaat untuk dirinya, malah sesiapa sahaja.

“Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka yang kini saya memiliki sebuah sekolah tahfiz, perkara yang saya idam-idamkan selama ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amy dan keluarganya bakal mengerjakan umrah pada 7 Julai ini. Dia juga dalam proses menyiapkan album terbaharu yang dijangka siap pada Ogos ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!