26 Jun 2015


BOGOTA – Seorang ibu dan bayinya yang hilang selepas sebuah pesawat dinaiki mereka terhempas di hutan tebal di barat laut Colombia beberapa hari lalu ditemui masih hidup kelmarin dan dalam keadaan sihat, sesuatu digambarkan sebagai keajaiban oleh pihak berkuasa di sini.

Nelly Murillo, 18, dan anak lelakinya, Yudier Moreno yang belum mencecah usia satu tahun ditemui berhampiran tempat sebuah pesawat Cessna 303 terhempas dalam hutan tebal pada Sabtu lalu.

“Ini satu keajaiban. Kawasan itu hutan liar dan melibatkan satu kemalangan dahsyat. Semangat ibunya tentu telah memberi kekuatan untuk bayi itu terus hidup. Wanita itu hanya mengalami kecederaan dan luka ringan tetapi bayinya tidak cedera.

“Murillo dan bayinya telah dibawa ke sebuah hospital berdekatan menggunakan helikopter. Saya terkejut mereka masih hidup,” kata Komander Tentera Udara Colombia, Kolonel Hector Carrascal dari Jabatan Antioquia kepada agensi berita AFP.

Juruterbang pesawat tersebut, Kapten Carlos Mario Ceballos terbunuh dalam kemalangan itu dan mayatnya ditemui pasukan menyelamat di dalam bangkai pesawat.

Pasukan tersebut turut mendapati pintu pesawat terbuka dan mengesyaki individu yang terselamat mungkin telah memanjat keluar.

Pasukan mencari dan menyelamat seramai 14 anggota memeriksa kawasan hutan tebal itu selama beberapa hari sebelum menemui kedua-dua mangsa.

Pesawat kecil itu dalam perjalanan dari Nuqui ke Quibdo di barat laut Colombia sebelum terhempas.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!