17 Jun 2015


Pakatan Pakatan Rakyat (PR) masih wujud dengan adanya kerjasama antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun DAP mengisytiharkan gabungan itu tidak lagi wujud. Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata PR ditubuhkan atas dasar kerjasama dan kesepakatan tiga parti berkenaan dan apa juga keputusan perlu dicapai secara bersama dan bukannya secara bersendirian. "PR tidak 'habis' walaupun hilang satu. 

DAP lah habis, ..kita ada lagi PR, ada dua parti ke atas, maka gabungan itu wujud, ia bergantung kepada hubungan PAS dan PKR. "Kita kekal dengan PR. Keputusan DAP bukan bubar PR, ..itu bermakna dia buat keputusan dia. Kita tidak keluar PR, ..kalau dia tolak kita, kita ada PKR," katanya di lobi Parlimen hari ini. Nik Abduh yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas mengulas berhubung keputusan DAP hari ini mengisytiharkan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata keputusan yang dibuat susulan Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu. Jawatankuasa eksekutif pusat DAP dalam mesyuaratnya semalam mencapai kata sepakat berhubung Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, pula berkata pakatan yang ada kini terus kekal dengan gabungan PAS dan PKR, sebagaimana pernah berlaku kepada Barisan Alternatif (BA) sebelum ini. Sekarang katanya, terpulang kepada PKR yang memimpin Selangor membuat keputusan sama ada untuk meneruskan gabungan dengan PAS di dalam pakatan atau tidak. 

"Sekiranya PKR juga menarik diri dari pakatan, maka tidak mustahil kerajaan Selangor goyah. "Sekiranya PKR terus bersama PAS dalam pakatan, maka mereka perlu menentukan sama ada menerima kehadiran DAP dalam kerajaan Selangor atau tidak, di samping mereka juga perlu menentukan sama ada meneruskan sokongan kepada DAP di Pulau Pinang atau tidak. Beliau berkata, keputusan dibuat PKR kelak bakal menentukan negeri mana yang menjadi goyah, kerajaan Selangor mahupun Pulau Pinang. 

"Tidak mustahil juga formula Tengku Razaleigh Hamzah mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat akan dipakai semula," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mengikut Mohd Zuhdi, DAP sejak kebelakangan ini sering membuat provokasi supaya PAS boleh keluar daripada pakatan, namun seakan menemui kebuntuan, dengan PAS terus konsisten untuk bersama gabungan itu. 

"DAP memulakan usaha dengan menggunakan pendekatan memainkan sentimen keagamaan, melalui beberapa MP (Ahli Parlimen) mereka di Sarawak seperti isu kalimah Allah, dakwah Islam kepada masyarakat peribumi dan lain-lain. "DAP (seterusnya) mencari ikhtiar lain untuk keluar dengan membuat provokasi melampau terhadap Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), dengan harapan PAS melayan provokasi itu dengan bertindak keluar dari pakatan," katanya. 

Selepas semua usaha itu tidak berjaya, DAP dakwa beliau cuba membuat keputusan yang agak pelik, memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi biarpun masih mahu ada ikatan dengan PAS. "Akhirnya DAP sendiri membuat keputusan untuk keluar pakatan dengan andaian penarikan diri mereka bermakna pakatan akan berkubur. 

Oleh sebab itu, keluarnya DAP bukan bermakna pakatan berkubur," katanya. Sementara itu, Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata pihaknya akan membincangkan perkembangan terbaru itu dalam mesyuarat Biro Politik mingguan yang akan diadakan di ibu pejabat mereka di sini malam ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!