16 Jun 2015


Baru-baru ini gempar dengan cerita sutradara popular, Erma Fatima yang nekad mahu berpisah dengan suaminya, Bade Azmi. Namun Bade pula masih mahu mempertahankan bahtera perkahwinan mereka yang dibina sejak 25 tahun lalu. 

Erma memfailkan permohonan cerai sejak Mei lalu dan minggu lalu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur membenarkan permohonan Erma mengeluarkan notis amaran terhadap Bade. Notis itu diputuskan hakim selepas Bade gagal menghadirkan diri pada sebutan pertama kes perceraian mereka tanpa mengemukakan alasan kukuh kepada mahkamah. Bade dalam kenyataannya sebelum ini mengaku tidak tahu yang Erma ada menyerahkan notis saman kepada Mei lalu dan tindakan memberi notis amaran itu dilihat tidak adil buatnya. 

Malah Bade mengakui hingga saat ini tidak pernah melafazkan apa-apa termasuk persetujuan untuk bercerai. Bade menegaskan beliau berkahwin kali kedua dengan Aida Abdul tahun lalu bukannya untuk bercerai dengan Erma. Dalam tempoh itu terutama pada Aidilfitri tahun lalu, Erma dilihat mula berbaik-baik dengan madunya. 

Erma sendiri ketika itu memuat naik gambar beliau beraya bersama madunya, Aida Abdul di kediaman keluarga mentuanya di laman Instagram, sekali gus membuktikan bahawa sutradara itu menerima dengan hati terbuka suratan suaminya, Bade berkahwin lain. Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi kononnya Erma tidak merestui perkahwinan kedua suaminya, sekali gus tidak rela bermadu. 

Ketika ini, Erma juga memilih untuk berdiam diri dan mesej yang dihantar kepadanya menerusi khidmat aplikasi WhatsApp juga tidak memberi sebarang pencerahan di atas apa yang terjadi. Bagaimanapun adiknya, Datin Umie Aida yang ditemui petang semalam ketika sidang media majlis J Hijab by Umie Aida di Jstore milik Jovian Mandagie sudi berkongsi sedikit rasa yang terbuku. "Sebagai adik, saya semestinya mahu mereka mempertahankan rumah tangga yang sudah lama dibina ini. 

Malah ketika permasalahan ini diperdengarkan, saya katakan kepada Erma... jika boleh pertahankan maka pertahankan. Sebab sayang. Reaksi dan maklum balas saya pastinya condong kepada positif. "Tapi pada akhirnya semua berbalik kepada keputusan Erma sendiri. Saya hormati keputusannya.  "Dalam situasi ini saya sayang juga dengan apa sahaja perasaan Erma. Kita yang di luar ini termasuk yang mengikuti perkembangan di dada akhbar dan laman maya tidak melalui apa yang dilaluinya. 

Dia yang buat keputusan dan melaluinya, pasti berbeza. Saya tahu dia sangat 'sakit' dengan apa yang dilalui dan pastinya tahap kesabarannya sudah tidak mampu berkompromi lagi. "Saya juga yakin keputusannya itu bukan baharu dia buat. Dia jenis yang fikir panjang dan masak-masak. Jika keputusan itu terbaik buatnya, kita tak mampu berkata apa-apa lagi. 

Saya sendiri tak mampu nak masuk campur dalam soal rumah tangga orang dan cukup menjadi pendengar. Apa yang terbaik buat dia, kami sokong dan senantiasa ada di belakang," kata Umie yang baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Mok Cun arahan Erma sendiri. 

Tambah Umie lagi, seperti kebanyakan teman termasuk rakan wartawan yang gagal menghubunginya, dia juga tak dapat bercakap dengan kakaknya itu. "Saya buat panggilan telefon dan hantar SMS pun tak berbalas. Apa lagi yang lain. Mungkin dia perlu bersendirian," kata Umie. 

Bade dan Erma bernikah pada 30 November 1990. Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 22, Ahmad Arir, 20; Ahmad Aifin, 18; Citra, 13 dan Nurain berusia sembilan tahun. Perkahwinan kedua Bade dengan Aida turut dikurniakan seorang cahaya mata tahun ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!