30 Jun 2015


BAGI peminat hiburan era 90-an pasti mengenali Ferri Anugerah Makmur yang merupakan penyanyi kelahiran Bandung Indonesia, juga bekas pramugara MAS ini.

Sudah lama tidak kelihatan kelibat Ferri di kaca televisyen, namun itu bukan bermakna veteran ini sudah memperlahankan aktiviti kerana Ferri terkenal dengan bakatnya yang pelbagai.

Selebriti yang memiliki pelbagai profil seperti pengacara majlis, penceramah motivasi, tukang masak selain penari, penyanyi dan pelakon ini, kini aktif mempromosikan produk makanan tambahan untuk kesihatan, Royale Collagen Plus, RoyaleC Teen dan Royale Beauty.

“Saya tidak hilang ke mana-mana. Sebaliknya sibuk dengan perniagaan dan jemputan menyampaikan ceramah motivasi.

“Saya adalah Smart Partner syarikat Expectrade Sdn Bhd yang memasarkan produk ini ke Indonesia dan Sabah. Terbaharu, saya akan membantu Khazanah Nasional sebagai perunding motivasi untuk menangani isu ribuan staf yang terpaksa diberhentikan kerja,” katanya kepada Zass.

Menjejaki perjalanan seni artis legenda berusia 53 tahun ini, beliau bukan sahaja muncul sebagai penyanyi tetapi pernah menjadi pengacara rancangan popular Muzik-Muzik. Malah, Ferri antara hos rancangan masakan terawal sebelum kemunculan selebriti chef masa kini.

Selain itu, Ferri mempunyai galeri lukisan bernama Anugerah Gallery yang beliau usahakan sendiri di Taman Watan Ampang. Ferri giat menganjurkan pameran lukisan bertaraf antarabangsa untuk orang kenamaan dan VVIP secara privasi.

Pernah diuji dengan kemusnahan rumah tangga pada 2004, kini Ferri menjalani kehidupan baru bersama isteri, Nur Pertiwi Abdullah Tran, 28, yang merupakan saudara baru dari Vietnam.

“Isteri saya bekerja sebagai optometris. Pertemuan kami berlangsung secara tidak sengaja pada 2009 dan Alhamdulillah, ia berakhir dengan perkahwinan,” katanya yang kini bahagia memiliki anak keempat, Primadona Anugerah Makmur, 3.

Tiga anaknya dari perkahwinan terdahulu kini sudah remaja; Iman Anugerah Makmur, 18, Ilham Anugerah Makmur, 17, dan Inessa Serikandi Anugerah Makmur, 15.

Ditanya sama ada beliau masih memenuhi undangan nyanyian, Ferri mengakui masih meneruskan bidang itu kerana nyanyian kekal di dalam jiwa.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!