23 Jun 2015


MOSCOW: Jutawan Russia, Alisher Usmanov menyalurkan bantuan sebanyak 300 juta rouble (RM20.84 juta) kepada Kesatuan Bola Sepak Russia (RFS) untuk membayar hutang gaji jurulatih bola sepak negara itu, Fabio Capello. Capello, seorang warga Itali mengambil alih tugas pembimbing pada Julai 2012, sebelum kontraknya disambung sehingga Piala Dunia 2018 berakhir, yang mana Russia menjadi tuan rumah. 

"Sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Penasihat Penganjur Tempatan Russia 2018, Usmanov mengambil keputusan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada RFS sebanyak 300 juta rouble," menurut pasukan khidmat media Usmanov kepada agensi berita, R-Sports. "Persoalan mengenai ketua jurulatih adalah sangat penting bagi pasukan bola sepak kebangsaan menjelang Piala Dunia 2018," . 

RFS bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan pembayaran itu. Menurut majalah Forbes, Usmanov adalah lelaki paling kaya di Russia dengan anggaran kekayaan berjumlah $14.7 bilion (RM55.10 bilion). Awal tahun ini, dia meminjamkan sebanyak 400 juta rouble kepada RFS bagi membantu membayar gaji Capello. 

Capello menerima gaji tahunan sebanyak 7 juta euro (RM29.52 juta), namun bayaran itu tertunggak sebanyak lima juta euro. Awal bulan ini, Russia ditundukkan Austria, 1-0 pada saingan Euro 2016 dan kini menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan G selepas menghimpun lapan mata daripada enam perlawanan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!