18 Jun 2015


Genap seminggu terputus hubungan, kapal tangki MT Orkim Harmony dikesan berada di perairan Kemboja.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, kapal tersebut ditemukan jam 3.45 petang Rabu oleh pesawat patrol marin P-3 Orion milik Australia.

Kapal tangki yang hilang sejak Khamis lalu itu kini berada pada kedudukan 210 batu nautika di utara Pulau Redang, di Teluk Siam.

Sejurus dimaklumkan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berhubung dengan pihak berkuasa Thailand dan Kemboja untuk mendekati kapal berkenaan.

Kapal tangki itu kini berada di bawah pengawasan udara pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Tentera Udara Diraja Australia.

Sebahagian warna cat kapal tersebut telah ditukar, daripada biru kepada hitam, manakala perkataan "Orkim Harmony" telah dicat dan dikaburkan menjadi "Kim Harmon."

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal milik Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia. Anak kapal lain terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar.

Muatan minyak yang dibawa kapal itu dipercayai masih ada. Walau bagaimanapun, nasib anak kapal belum dapat dipastikan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!