18 Jun 2015


Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP bagi negeri Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen semalam mengumumkan tiga ketua kampung yang dilantik atas kapasiti DAP di Kelantan meletak jawatan, semalam.

Peletakan jawatan itu berikutan keputusan Jawatankuasa Pusat DAP yang memutuskan bahawa tidak wujud lagi Pakatan Rakyat ekoran usul Dewan Ulama Pas untuk membatalkan kerjasama politik dengan DAP.

Ketua kampung berkenaan ialah  Irene Tan (Penghulu Tanpa Mukim di bawah Dun Tanjung Mas), David Ng Yang Seng (Penghulu Tanpa Mukim di bawah Dun Kota Lama) serta Tang Chee Hung (Penghulu Kampung Pulai).

Beliau berkata, pihak Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP bagi kedua-dua negeri itu sebulat suara menyokong keputusan Jawatankuasa Pusat DAP yang bertujuan mempertahankan maruah parti.

“Keputusan serta-merta dibuat berikutan Kelantan dipimpin oleh Pas dan tidak lagi menjadi negeri pimpinan PR,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, pihak penyelaras DAP kesal terhadap Pas yang bertegas melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Hudud) di Kelantan.

Chin Chen yang juga Adun Ketari berkata, tindakan Pas sebelum ini ditentang DAP kerana bercanggah dengan dasar bersama PR serta Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, usul hudud yang ditegaskan Pas turut tidak mengambil kira pendapat masyarakat bukan Muslim secara umum.

“Pindaan bagi kanun hudud tetap diluluskan oleh kerajaan negeri Pas di Dewan Undangan Negeri Kelantan walaupun DAP mengemukakan tentangannya,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!