9 Jun 2015


DAP menyatakan kepimpinan baharu Pas perlu melaksanakan tindakan susulan selepas memutuskan hubungan dengan parti tersebut pada muktamar lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kepimpinan tersebut perlu mengarahkan wakil-wakil Pas meletakkan semua jawatan dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Saya minta kepimpinan baharu Pas supaya mengarahkan wakil Pas dalam kerajaan negeri meletak jawatan. Saya rasa hanya dengan tindakan sedemikian sahaja menunjukkan mereka masih ada maruah.

"Sekiranya mereka berpegang kepada prinsip dan tidak pada jawatan, maka mereka harus mengambil tindakan susulan dengan berani mengarahkan yang memegang jawatan di Pulau Pinang meletak jawatan," katanya dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa jawatan yang dipegang wakil Pas di Pulau Pinang adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan ketua menteri.

"Jangan gunakan alasan sebagai wakil Pas dalam PR dalam kerajaan negeri. Sangat tidak masuk akal untuk mereka bekerjasama sedangkan Pas telah memutuskan hubungan.

"Saya harap mereka faham, macam mana boleh bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang sedangkan mereka telah putuskan hubungan dengan saya selaku ketua menteri. Kalau putuskan hubungan DAP, saya setiausahanya, jadi harap mereka (Pas) faham," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Pas yang melulus usul putuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas.

"Mengapa mereka (Pas) menggunakan perkataan diterima tanpa bahas jika mahu berbaik atau rujuk. Sebagai ahli politik yang matang mereka tidak patut guna perkataan itu. Apa maksud perkataan tersebut?

"Kalau nak rujuk guna perkataan rujuk, jangan guna perkataan usul putus diterima. Saya rasa jangan berbelit-belit dalam hal ini kalau nak putus kita terima putus kerana itu hak Pas, kita terima dengan hati terbuka," katanya.

Guan Eng turut mendakwa, kepimpinan Pas seakan-akan tidak berani mengambil tindakan susulan yang logik.

"Sudah tentu menimbulkan pertanyaan adakah pertahankan jawatan lebih penting daripada pertahankan prinsip," katanya.

Jelasnya lagi pihak kerajaan negeri mempunyai hubungan baik dan kerjasama yang rapi dengan wakil-wakil Pas termasuk Datuk Salleh Man sebagai Adun permatang Pasir dan Naib Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

"Apabila mereka (ahli Pas) letak jawatan ia diterima tanpa soal. Sudah tentu pengganti akan datang dari orang Melayu dan Islam," katanya.

Guan Eng turut memuji tindakan, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang bertindak meletak jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang sebagai tanda menghormati usul yang dibuat kepimpinan Pas.

"Saya rasa ini tindakan mulia dan disegani kerana beliau berpegang kepada prinsip bukan memegang jawatan dan akur kepada keputusan parti.

"Kepimpinan baharu Pas perlu mencontohi apa yang dilakukan Mat Sabu," katanya.

Tambah Guan Eng, kira-kira seratus jawatan telah diberikan kepada wakil Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Mengulas mengenai campur tangan PKR dalam krisis DAP-Pas, beliau berkata, mereka tidak memerlukan khidmat pihak ketiga bagi menyelesaikan krisis antara parti itu dengan Pas.

"Kami mampu menyelesaikan  sendiri masalah dengan Pas. DAP wujud sejak tahun 1996 dan mempunyai majoriti wakil rakyat yang paling ramai dalam PR.

"Segala masalah boleh dibincangkan secara terus tanpa campur tangan orang lain," katanya lagi.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!