12 Jun 2015


DOHA – Teori terbaharu mendedahkan bahawa juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang secara misteri sejak Mac tahun lalu, dipercayai bertindak menjunamkan kapal terbang itu secara menegak ke dalam laut bagi memastikan pengangkutan itu selamat.

Teori terbaharu oleh sepasukan ahli matematik itu merumuskan bahawa, jet Boeing 777 yang membawa 239 penumpang tersebut dijunamkan ke dalam air pada sudut 90 darjah selepas menganalisis beberapa siri simulasi komputer.

Menurut mereka, hanya dengan cara itu, pesawat berkenaan berada dalam keadaan kekal utuh, sekali gus menjelaskan mengapa tiada serpihan, mahupun minyak dari jet itu ditemukan sejak kehilangannya lebih setahun lalu.

Ahli matematik, Goong Chen yang mengetuai pasukan penyelidikan itu berkata, saat-saat akhir sebenar MH370 kemungkinan besar akan terus menjadi misteri sehingga satu hari nanti apabila kotak hitam jet tersebut ditemukan dan maklumat yang terkandung di dalam kotak ter­babit dibongkar.

“Ahli forensik turut memberi sokongan yang kuat bahawa pesawat itu menjunam ke dalam laut secara menegak,’’ katanya, sebagaimana dilaporkan portal Mail Online.

Penyelidik dilapor menggunakan sebuah komputer besar bagi menguji lima senario pendaratan termasuk meluncur di dalam air, sepertimana yang dilakukan oleh Kapten Chesley Sullenberger apabila beliau mendaratkan jet US Airways dengan selamat di Sungai Hudson dalam satu peristiwa yang dikenali sebagai ‘keajaiban Hudson’.

Bagaimanapun, senario itu ditolak kerana MH370 secara umum akan mengakibatkan ombak besar setinggi beberapa meter yang secara mudah memusnahkan jet itu, sekali gus meninggalkan serpihan.

Pasukan penyelidik dari Universiti Texas A&M di Qatar itu berkata, senario yang mungkin paling munasabah adalah kemasukan ke dalam air secara menegak atau curam kerana cara berkenaan akan mengakibatkan kurangnya rintangan, sama seperti cara seorang penerjun memasuki air dengan percikan air yang sedikit.

Senario itu membolehkan jet terbabit kekal sempurna sebelum tenggelam di dasar Lautan Hindi.

Teori itu didedahkan seminggu selepas harapan keluarga penumpang pesawat MH370 untuk menemukan pesawat itu berkecai setelah pihak berkuasa mengumumkan bahawa mereka hampir putus asa dalam mencari jet tersebut.

Pakar penyelamat berkata, operasi mencari itu tidak akan dilanjutkan di luar zon pencarian semasa di selatan Lautan Hindi, walaupun mereka sebelum ini berjanji akan berbuat demikian.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!