24 Jun 2015


Seorang wanita warga emas bertindak berani apabila nekad bergelut dengan tiga perompak yang menceroboh masuk ke rumahnya di Kampung Air Putih, Titi Teras Balik Pulau, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, warga emas berkenaan yang mahu dikenali sebagai Mak Chak Jam, 70, berada seorang diri dan sedang membaca al-Quran sebelum terdengar bunyi pelik di bahagian cermin tingkap belakang rumahnya.

Mak Chak Jam ketika ditemui memberitahu, dia bangun untuk memeriksa punca bunyi ber­kenaan sebelum terkejut disergah oleh tiga penjenayah berkenaan yang telah memasuki rumahnya melalui pintu belakang.

Menurutnya, dia yang terkejut dengan kehadiran tiga suspek itu terus bertindak mempertahankan diri dan berlaku pergelutan antaranya dengan tiga lelaki ber­kenaan.

“Seorang daripada mereka berjaya merentap rantai manakala dua lagi cuba merentap gelang tangan yang dipakai sehingga pergelangan tangan kiri saya retak.

“Walaupun tahu bahaya di depan mata, saya nekad untuk terus mempertahankan diri dan melawan semua penjenayah ter­babit serta menampar sehingga berjaya mencabut topeng salah seorang daripada mereka yang sememangnya saya kenal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Balik Pulau di sini hari ini.

Ujar Mak Chak Jam, dia bersyu­kur kerana selamat dan semua penjenayah yang terlibat tidak mendapat sebarang habuan.

“Rantai leher yang direntap mereka terjatuh di dalam rumah tanpa dapat dibawa lari penjenayah terlibat,” ujarnya.

Selain itu, warga emas yang juga suri rumah itu memberitahu, selepas semua penjenayah terbabit melarikan diri, dia yang masih terkejut dengan apa yang berlaku terus menghubungi anak saudaranya yang tinggal berdekatan untuk meminta bantuan memandangkan suaminya berada di masjid ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya kini giat memburu suspek terbabit.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!