25 Jun 2015


Selepas tersebarnya gambar pemimpin progresif Pas yang menggelarkan mereka sebagai G18, timbul ura-ura bakal terbentuknya Pakatan Rakyat 2.0 dalam masa terdekat.

Pertemuan yang diadakan di rumah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar di ibu negara malam tadi turut menyaksikan kehadiran pemimpin kanan PKR dan DAP termasuk pemimpin veteran, Lim Kit Siang. 

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang berkongsi gambar sekitar majlis itu turut menzahirkan keyakinan "walaupun keputusan Muktamar Pas untuk putus hubungan dengan DAP telah mematikan Pakatan Rakyat, tetapi malam ini (tadi) nampaknya beri harapan kepada kelahiran Pakatan 2.0," tulisnya. 

Pertemuan berlangsung pada hari sama bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan gesaan perjuangan pembangkang harus diteruskan.

“Saya percaya bahawa pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini.

“Dari sebalik tirai besi ini, saya menggesa teman-teman seperjuangan di dalam parti-parti pembangkang dan juga rakyat Malaysia untuk terus bergerak dalam perjuangan ini hinggalah kemenangan dikecapi dan Malaysia diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dipetik sebuah portal mengesahkan pertemuan malam tadi sambil menyifatkan ia berjalan dengan baik serta dihadiri pemimpin kanan PKR dan DAP. 

"Ia sangat berjaya dengan semua pemimpin kanan menyertainya," sambil menambah G18 akan membuat pengumuman rasmi mengenai masa depan politik mereka  selepas Ramadan ini.  

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu ketika ditanya, adakah pertemuan malam tadi membincangkan tentang 'pakatan baharu' hanya menjawab "tunggulah lepas raya nanti". 

Sementara itu, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dipetik sebagai berkata, pembentukan sebuah parti politik baharu yang akan diterajui oleh G18 tiada kaitan dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma). 

Jelasnya, G18 dan Pasma adalah dua entiti yang berbeza serta mempunyai hala tuju berlainan. 

"Jangan salah faham, kami (G18) bukan sebahagian daripada rancangan Pasma. Apa yang saya faham ialah Pasma merupakan sebuah NGO yang mesra Pakatan  Rakyat. 

"Tapi kalau ada pemimpin mereka nak tubuhkan parti politik baharu, itu hak mereka. G18 tak ada kaitan dengan itu," kata Dzulkefly yang juga Setiausaha jawatankuasa bertindak G18 kepada sebuah portal tempatan. 
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!