16 Jun 2015


Persidangan Dewan Rakyat meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) tanpa sebarang pindaan pada jam 12.54 tengah malam. Usul RMKe-11, yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM260 bilion, langkah transformasi terakhir dalam menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Mei lalu. 

Fokus rancangan pembangunan lima tahun negara itu dibahaskan selama lima hari bermula 25 Mei lalu sebelum sesi penggulungan oleh kementerian berlangsung selama tiga hari bermula 10 Jun. Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, ketika menggulung perbahasan usul itu, berkata Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji penambahbaikan Seksyen 375 Kanun Keseksaan bagi memperluaskan definisi rogol dengan mengambil kira perbuatan memasukkan objek atau organ lain selain kemaluan. 

Merujuk kes yang diputuskan mahkamah di Sibu, Sarawak, baru-baru ini, Nancy berkata, pada masa sama, rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkepentingan seperti pengamal perubatan dan kementerian berkaitan. "(Pada ketika ini), skop Seksyen 375 Kanun Keseksaan tidak merangkumi tindakan kemasukan selain daripada organ kemaluan seperti jari," katanya. 

Mahkamah Rayuan di Sibu, baru-baru ini, membebaskan Bunya Jalong, 60, daripada dakwaan rogol anaknya berusia 14 tahun pada TAHUN 2011 dengan alasan tiada penetrasi zakar berlaku dan penetrasi jari serta benda asing tidak dianggap rogol. 

Keputusan itu dibuat walaupun ujian DNA terhadap anak yang dilahirkan mangsa selepas kejadian itu sepadan dengan tertuduh. Nancy berkata, secara amnya kesalahan jenayah rogol mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan ditakrifkan sebagai persetubuhan atau 'sexual intercourse' secara paksaan atau tanpa persetujuan ke atas seorang wanita. 

"Ini termasuk persetubuhan dengan wanita yang mana persetujuan wanita itu untuk melakukan persetubuhan telah diberikan atas sebab ketakutan, penipuan, tanggapan salah atau tidak faham kesan persetujuan yang diberikan," katanya. Beliau menjawab pertanyaan beberapa ahli Parlimen yang meminta pindaan sewajarnya terhadap undang-undang seperti Seksyen 375 agar kes seumpama itu tidak berulang dan tidak terlepas. Persidangan dewan bersambung hari ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!