18 Jun 2015


“MAAF saya tidak akan komen apa-apa mengenai soal itu.” Itulah jawapan yang diberikan pelakon Diana Danielle ketika diajukan soalan mengenai gambar dirinya dalam sebuah majalah baru-baru ini.

Dalam majalah ituMac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 24, yang mengenakan pakaian menjolok mata, menimbulkan keadaan tidak senang peminat kerana dikatakan tidak sesuai dengan imej seorang isteri dan ibu.

Bagaimanapun ketika menjelaskan keadaan itu, Diana dengan baik menolak agar soalan ini tidak terus ditanya memandangkan dia tidak akan menjawab sebarang soalan berkaitan isu terbabit.

“Kita tidak akan terus bercakap soal ini. Sebabnya jawapan saya masih tetap sama iaitu tiada komen.
“Terima kasih kerana memahami keadaan saya,” katanya dengan lembut ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Lebaran Raya Sin-cerelybyus 2015, di Shah Alam baru-baru ini.

Menukar perbualan kepada perkembangan karier terkini, jelas Diana, sehingga saat ini dia masih lagi sibuk seperti biasa. Selain menerima undangan ke majlis-majlis hiburan, tentunya masa sehariannya juga tidak lari dari menjadi seorang ibu.

“Masih sibuk dengan urusan kerjaya, malah pada bulan puasa nanti juga saya akan memulakan penggambaran telefilem.

“Selain itu tentunya waktu saya banyak bersama anak juga,” katanya yang juga isteri kepada pelakon lelaki terkenal Farid Kamil.

Berkongsi persiapan Ramadan, Diana tidak menolak cukup teruja dengan kehadiran bulan mulia ini. Sama seperti umat Islam lain tentunya dia mahu menggunakan sebaik mungkin peluang yang ada dalam melakukan ibadah.

“Ramadan adalah waktu yang baik untuk berehat sebentar dalam masa yang sama juga melakukan ibadah. Melihat kembali kekurangan diri dan memperbetulkannya.

“Saya percaya bulan ini memang kami sekeluarga akan banyak habiskan masa di rumah sahaja,” katanya lembut.

Selain itu juga Diana turut memberitahu, tahun ini seperti biasa dia melakukan rutin yang sama untuk sambutan hari raya.

Tidak sabar untuk pulang ke kampung dan kali ini katanya dia ingin pulang lebih awal.

“Saya akan pulang ke Perak dan Kedah tahun ini bersama keluarga.

“Cuma tahun ini mungkin lebih awal memandangkan kami tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya yang juga ibu kepada Muhammad yang kini berusia dua tahun.

Hadir ke majlis pelancaran koleksi Lebaran Raya Sincerelybyus, Diana menjelaskan dia hanya sebagai pencetus ilham untuk koleksi kali ini. Menjelaskan fesyen bukan bidang yang diminati, kata wanita ini, dia tidak melihat dirinya akan mengeluarkan sebarang jenama fesyen buat masa sekarang.

“Saya tidak mereka pakaian ini, cuma bertindak sebagai pencetus ilham sahaja. Sebagai wanita saya suka berpakaian cantik tetapi untuk mereka pakaian sendiri itu mungkin tidak.

“Saya lihat diri saya lebih ke arah kosmetik dan bukan fesyen buat masa ini,” katanya.

Tidak menolak bidang fesyen memiliki potensi yang tinggi, Diana bagaimanapun tidak menolak jika berkesempatan mahu berkecimpung dalam bidang ini suatu hari nanti.

“Suatu hari nanti saya tidak tahu, mungkin akan terlibat. Sebab kita suka berfesyen dan melibatkan diri dalam bidang ini adalah dua keadaan yang berbeza.

“Bukan mudah untuk melibatkan diri dalam bidang ini memandangkan bukan sahaja daripada segi komitmen tetapi juga pelaburan yang banyak,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!