30 Jun 2015


JOHOR BAHRU - Econsave Cash & Carry Sdn Bhd menafikan dakwaan yang kini menjadi viral di media sosial bahawa syarikat itu menjual kuih raya mengandungi gelatin khinzir dari China.

Pengurus Operasinya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati menyebarkan maklumat palsu berkenaan hingga menjejaskan pendapatan syarikat itu dan pembekal mereka.

Katanya, sejak lebih lima tahun lalu pembekal utama produk kuih raya di semua 57 cawangan pasar raya mereka merupakan pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera dari Muar, Tangkak dan Melaka.

“Kami tidak pernah menerima bekalan kuih raya dari negara China seperti didakwa kerana kita mempunyai ramai pembekal tempatan yang boleh membekalkan pelbagai jenis kuih pada harga berpatutan dan berkualiti.

“Malah ketiga-tiga pembekal utama kami mempunyai sijil halal bagi setiap jenis kuih yang dihasilkan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang masih sah sehingga 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai membuat laporan berhubung dakwaan itu di Balai Polis Sentral di sini, semalam.

Mas Imran berkata, pihaknya menerima rungutan daripada pembekal IKS yang mengadu bahawa pendapatan mereka terjejas sejak maklumat palsu itu tersebar di laman sosial.

“Sejak maklumat berkenaan tersebar saya menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak termasuk pelanggan yang inginkan kepastian mengenai dakwaan itu.

“Malah pembekal turut merungut kerana jualan produk mereka agak perlahan dan ia secara tidak langsung menjejaskan pendapatan mereka yang bergantung kepada hasil jualan ketika musim perayaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau berharap agar orang ramai lebih berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat yang tidak disahkan agar tidak menganiaya dan menyukarkan pihak lain.

Menurut Mas Imran, pembekal utama pasar raya Econsave merupakan Sinar Bakery SC Food Stuff dari Muar mendapat sijil halal dari 2014 hingga 2016, Mybiscuit dari Tangkak memperoleh sijil halal dari 2014 hingga 2016 dan Style Food dari Melaka mendapat sijil halal dari 2012 hingga 2016.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!