15 Julai 2015


Selepas hampir sebulan kediaman keluarga pelawak adik-beradik Zero di Kampung Pantai Bahagia, Kudat, Sabah ditimpa musibah akibat kebakaran, mereka akhirnya boleh menarik nafas lega apabila dapat berhimpun semula di bawah satu bumbung.

Berkongsi perkembangan terkini susulan kejadian yang memusnahkan rumah keluarganya pada 15 Jun lalu, Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, 21, berkata, dia bersyukur kerana ibu mereka Musahpun Andis, 55, dan empat beradik lain berpindah ke rumah sewa mereka di Kota Damansara, Petaling Jaya, sejak seminggu lalu.

“Sebelum ini, terpaksa tinggal di tempat penempatan sementara yang disediakan kerana kerja pembaikan rumah hanya boleh dilakukan selepas Aidilfitri.

“Apabila mereka berada di depan mata, hati kami pun senang keluar bekerja kerana tahu ibu dan adik-beradik lain ada dengan kami,” katanya.

Dalam kejadian, kira-kira 70 rumah termasuk kediaman keluarga pelawak itu musnah dijilat api.
Ekoran kejadian, semua mangsa ditempatkan di balai raya kampung berkenaan.

Atu berkata, walaupun ibunya berat hati dengan keputusan berpindah ke Kuala Lumpur, tetapi ia dilakukan demi kebaikan keluarga ketika ini.

“Faham-faham sajalah orang tua payah hendak tinggalkan rumah dan kampung. Puas juga kami pujuk barulah dia mahu, tapi itu pun ibu berasa janggal untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar.

“Katanya dia tidak puas dengan makanan di sini sebab ikan kegemarannya sukar didapati di sini. Tapi hendak buat macam mana? Kena jugalah mereka berpindah ke sini sementara waktu. Selepas rumah di sana selesai dibaiki mereka akan kembali ke Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Atu berkata, Zero bakal mengadakan siri jelajah di enam zon membabitkan lebih 20 lokasi di seluruh Sabah untuk mendekati peminat, awal tahun depan.

“Mereka terlalu ba­nyak menyokong Zero selama ini. Jadi saya dan abang kena balas sokongan itu de­ngan mendekati mereka,” katanya yang baru menamatkan penggambaran filem Lu Mafia Gua Gang­ster.

Selain Atu, Zero turut dianggotai Syaiful, 25, dan Kadir, 23.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!