30 Julai 2015


PULAU La Reunion di Lautan Hindi kini menjadi tumpuan dunia oleh pasukan penyiasat dan negara terbabit dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, susulan penemuan serpihan bangkai sayap yang dipercayai milik sebuah pesawat. Biarpun belum ada sebarang pengesahan rasmi dibuat sama ada ia berkaitan dengan insiden MH370 yang hilang sejak Mac tahun lalu itu, namun pakar dari Australia dan Malaysia sudah dikerah ke sana bagi mendapatkan kepastian. 

Terletak di sebelah timur Madagascar, kira-kira 200 kilometer di barat daya Mauritius, La Reunion adalah sebahagian daripada tanah jajahan Perancis. Jelas dari udara, La Reunion yang berdekatan dengan Pulau Seychelles milik British, terbentang luas panorama yang cukup indah sehingga menjadi kegilaan pengembara dunia untuk menjejakkan kaki ke pulau ini. 

Pulau kecil yang masih mempunyai gunung berani yang aktif ini sering menjadi tempat beristirehat pelancong selain aktiviti selaman skuba, mendaki gunung dan pelbagai air terjun menarik yang berselirat di sekeliling pulau bergunung ini. Mengikut catatan sejarah dikongsi Ensiklopedia Kebudayaan Dunia, La Reunion antara pulau terbesar di Perancis, yang satu ketika pernah menjadi lokasi penghijrahan migran pelbagai etnik dari wilayah Mozambique, India, China dan Madagascar. 

Pulai ini memiliki keluasan 2,520 kilometer persegi dan ia adalah yang terbesar di antara pulau-pulau yang terdapat di kepulauan Mascarene. Berdasarkan rekod rasmi daripada Jabatan La Reunion di Jabatan Luar Negara Perancis, setakat 2004, pulau ini menempatkan kira-kira 850,000 penduduk dan menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa komunikasi utama. 

Pulau yang ditemui pada awal abad keenam belas dan diletakkan di bawah jajahan Perancis sejak 1643 itu menggunakan mata wang Euro sebagai ejen pertukaran utama dalam urusan jual beli dan perniagaan Pada tahun 1649, Perancis mendakwa kawasan itu secara rasmi sebagai pulau naungannya dan menamakannya sebagai Bourbon, sebelum ditukar menjadi La Reunion pada 1792. Andai serpihan pesawat yang ditemui semalam itu disahkan milik MH370, bermakna tanda tanya selama ini ke mana pesawat membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berakhir mungkin bakal dapat dirungkai. 

Sebelum ini juga, pelbagai penemuan dikaitkan dengan MH370 termasuk di Kepulauan Andaman oleh seorang pakar teknologi maklumat dari India, Anoop Madhav Yeggina dan pengesanan sebuah kapal milik syarikat penerokaan berpangkalan di Adelaidekapal, GeoResonance di Teluk Bengal, namun tidak satu pun yang disahkan benar dan ada kaitan dengan pesawat malang itu. 

Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 turut menemui sebuah kapal karam yang tiada dalam rekod senarai kapal karam di kedalaman kira-kira 3.9 kilometer di bawah air menerusi imbas oleh sistem sonar di dasar Lautan Hindi pada Mei lalu, namun disahkan ia tiada kaitan. 

Berdasarkan penemuan baharu itu, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) turut menyatakan kebarangkalian bahawa ia mungkin datang daripada kemalangan sebuah pesawat enjin kembar yang terhempas pada 4 Mei 2006 berdekatan pantai di selatan pulau itu, atau sebahagian serpihan A310 Yemenia yang terhempas di luar Comoros pada Jun 2009. 

Kira-kira 15 bulan lalu, penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pada 29 Januari tahun ini, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai satu kemalangan berdasarkan peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa kesemua 239 orang yang menaiki pesawat itu dianggap sudah terkorban.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!