28 Julai 2015


SELEPAS empat tahun tidak menyanyi, Ayda Jebat beranggapan sudah tiba masanya untuk kembali aktif dalam bidang terbabit.

Bahkan, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) ini turut mahu lebih serius dalam bidang nyanyian selepas tampil dengan single pertamanya, Siapa Diriku sejak 1 Julai lalu.

“Sebenarnya, saya suka menyanyi. Tapi, rezeki saya lebih menyerlah sebagai pelakon.

“Saya menyanyi bukan kerana mahu membuktikan diri ini berbakat sebagai penyanyi, tetapi ingin memberitahu orang ramai bahawa saya cintakan dunia muzik.

“Kini, saya sangat teruja kerana single pertama sudah pun menemui peminat.

“Lebih istimewa, single itu juga dijadikan sebagai lagu runut bunyi untuk drama lakonan saya, MAID,” katanya.

Meskipun teruja, jauh di sudut hati pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini terselit rasa bimbang.

“Saya tahu, agak sukar bagi seorang pelakon untuk bergelar penyanyi dan mudah bagi seorang penyanyi untuk cuba berlakon.

“Namun, dalam kes saya, ia agak berlainan. Dari bidang nyanyian, saya terjun ke dunia lakonan dan cuba membina nama semula sebagai penyanyi.

“Saya tidak dapat menduga apa-apa kerana ini percubaan pertama saya. Apa yang saya harapkan adalah penerimaan dan sokongan yang berterusan daripada peminat,” katanya.

Bagaimanapun, teraju utama drama Rindu Awak 200% ini berjanji untuk menyeimbangkan karier lakonan dan nyanyiannya sebaik mungkin.

“Saya akui saya mengambil cuti panjang bagi mempromosikan lagu ini kerana saya mahu memberikan yang terbaik.

“Insya-ALLAH, hujung bulan ini, saya kembali sibuk di lokasi penggambaran telefilem Nawaitu Cinta arahan Osman Ali,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai lagu berentak rancak yang ditulis bersama Omar K, katanya, Siapa Diriku berkisar kerenah manusia yang gemar menghakimi individu lain.

“Saya suka lagu ini. Lagu ini ada pengajaran dan bukan sekadar lagu saja. Ia mengisahkan tentang keadaan sekarang,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!