29 Julai 2015


KHABAR semakin bertiup deras dan kencang. Kisah pasangan yang dilihat sangat bahagia, saling berbahagi cinta ini sudah hampir menemui nokhtahnya. Perkahwinan yang hanya setahun berlangsung diuar-uar seperti kaca yang bakal terhempas berderai, pada bila-bila masa sahaja. Demikian yang disajikan oleh banyak media barat.

Meskipun kebenaran laporan mengenai kisah perceraian Angelina Jolie dan Brad Pitt masih belum dipastikan memandangkan belum ada pengakuan sah daripada kedua-duanya, ia dikatakan hampir menjadi kenyataan dan semakin panas di Hollywood sehingga tidak mampu diselindungkan lagi.

Dan tentunya, kisah perceraian pasangan yang lebih dikenali dengan panggilan Brangelina itu telah menggemparkan seluruh dunia, banyak hati yang menjadi remuk rendam memandangkan pasangan ini dilihat begitu bahagia bersama berdua hampir sedekad, sebelum pernikahan mereka.

Menjalinkan hubungan selama 10 tahun sebelum berkahwin pada September tahun lalu, Brangelina dikhabarkan mahu memutuskan perhubungan mereka yang ‘sah’. Ini kerana terdapat masalah besar dalam rumah tangga mereka, yang tidak dapat diselindungkan lagi.

Muka hadapan majalah In Touch pada 6 Julai dengan tajuk Brad And Angelina Shocker: Divorce Announcement – How It All Went Wrong After 10 Years adalah permulaan segala-galanya.

Ramai yang mempersoalkan apa sebenarnya masalah yang berlaku antara Brad dan Angelina. Sebelum ini, pasangan ini dilihat telah banyak berkorban dalam memastikan kelancaran hubungan mereka.

Menurut sumber In Touch, Brad, 52, adalah orang yang mahu menamatkan hubungan itu kerana kesengsaraan yang dialaminya sepanjang bersama Angelina. Rupa-rupanya, bekas suami Jennifer Aniston itu begitu menderita selama berhubungan dengan wanita tercantik dunia itu.

“Brad sudah tidak tahan lagi dikongkong oleh isterinya dan dia mahu putuskan semuanya. Dia ada berkata, sikap Angelina yang membuatkan dia tidak mampu untuk meneruskan hubungan mereka. Angelina sering mengawal dirinya sejak hari pertama mereka menjalinkan hubungan,” kata sumber itu.

Dikhabarkan juga, Angelina pun tidak bermasalah untuk menamatkan hubungan itu. Bagaimanapun, dia meminta agar segala proses dilakukan selepas filem By The Sea ditayangkan pada November ini. Angelina tidak mahu segala perancangan untuk filem berkenaan tidak menjadi, memandangkan dalam filem tersebut mereka tampil sebagai pasangan yang bercinta.

Memetik laporan laman Aceshowbiz, kehidupan rumah tangga Brangelina semakin rapuh dan mereka bermula bergaduh ketika hadir bersama ke Critics Choice Awards.

“Sifat cemburu Angelina memang sudah ramai yang tahu. Selesai majlis anugerah itu, mereka ke sebuah ruangan dan Angelina menjerit kepada suaminya di hadapan orang ramai. Jeritan itu berlaku kerana kehadiran bekas isteri Brad, Jennifer Aniston sehingga Angelina mengatakan dirinya tidak selesa dalam majlis itu.

“Hal itu benar-benar mengejutkan. Malah, Angelina sempat mengatakan Brad seorang yang pengecut dan terdengar juga dia tidak membenarkan Brad menyentuh dirinya,” kata sumber kepada Aceshowbiz.

Jadi panas baran

Angelina Jolie dan Brad Pitt berkahwin di Chateau Miraval, Perancis pada 23 Ogos 2014. Majlis perkahwinan mereka berlangsung tertutup dan hanya dihadiri 20 tetamu termasuk keenam-enam orang anaknya.

Sederhana sahaja majlisnya. Memetik laporan majalah In Touch, masalah rumah tangga itu telah membuatkan Brad menjadi seorang yang cepat marah. Ketika pergi ke lapangan terbang baru-baru ini, seorang paparazi telah ditolak oleh Brad menggunakan beg galasnya.

“Brad memang tertekan dengan isu bercerai itu. Memang agak sukar untuk Brad lalui semua itu kerana usia perkahwinan belum mencecah setahun. Dia tidak lagi seorang yang mesra seperti dahulu. Itu bukan Brad Pitt! Kemarahan menjadi satu daripada sikapnya sekarang,” kata sumber.

Ramai masih menanti kesahihan berita tersebut. Mungkin ada pengumuman perceraian daripada pasangan ini nanti. Tunggu dan lihat!

Angelina curang?

Dalam pada ramai yang berteka-teki status dan nasib hubungan 10 tahun pasangan ini, ada juga yang mengeluarkan cerita tidak enak. Khabarnya, pelakon cantik ini yang memulakan sengketa antara mereka. Laporan majalah In Touch juga ada menyebut Angelina berlaku curang bersama seorang pelatih bahasa dalam filem hebatnya, Salt.

“Kecurangan itu diberitahu oleh pengurus rumah tangga yang biasa menguruskan keluarga Angelina. Ketika dalam kunjungan Angelina dan pelatih bahasa itu ke Hotel Waldorf-Astoria, New York, pengurus itu melihat segala-galanya.

“Anna Kowalski mengaku melihat bilik Angelina di hotel tersebut berselerak dengan alat-alat permainan seks. Kowalski juga memberitahu, bilik mandi aktres tersebut turut dipenuhi dengan botol vodka. Melihat keadaan bilik tersebut, Kowalski yakin bahawa Angelina memang curang dengan pelatih bahasa itu,” kata sumber.

Sebelum ini, tambah sumber, Angelina pernah menyatakan hasratnya untuk bebas berhubungan dengan mana-mana lelaki yang dia inginkan, tanpa sebarang sekatan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!