28 Julai 2015


PONTIAN - Berat mata memandang, berat lagi baru yang memikul. Begitu diibaratkan penderitaan seorang warga emas yang mengalami penyakit kulit misteri sejak 10  tahun lalu. 

Kaseh Md Ali, 62, yang mempunyai empat anak tidak pernah menyangka gatal-gatal yang disangka alahan biasa akibat ubat yang diambil selepas terbabit kemalangan jalan raya, kini merebak ke seluruh badan.

“Sejak itu, saya tidak lagi tidur malam kerana mengaru seluruh anggota badan bagi menghilangkan rasa gatal, ada kala sampai berdarah. 

“Biarpun sakit sebab kulit menggelupas, saya terpaksa tahan demi dapat upah kutip biji sawit sebanyak RM20 sehari untuk menyara keluarga,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Sanglang Laut, semalam.

Sementara itu, anak ketiganya, Mohd Yusri, 19, memberitahu, ayahnya terpaksa bergantung dengan maajun sebagai ubat penahan sakit dan tepung beras bagi menghilangkan rasa gatal.

“Sudah bermacam-macam cara dilakukan baik yang moden dan tradisi, tapi semuanya tak berhasil.

“Akhirnya ayah cari ikhtiar sendiri untuk hilangkan rasa gatal dengan menyapu tepung beras yang dicampur daun kelong dan kunyit ke seluruh anggota badan pada setiap malam,” katanya. 

Mohd Yusri yang kini belajar di Kolej Komuniti Kulaijaya mengakui sedih melihat ayahnya tidak dapat tidur lena kerana menggaru badan. 

“Saya mahu lihat ayah tidur lena, tak sanggup saya lihat penderitaan ayah selama 10 tahun ini,” katanya. 

Menurutnya lagi, bagi meringankan beban keluarga, ibunya, Irawati Imran, 45, mengambil upah sebagai pembantu gerai menjual air dengan upah harian RM30 ringgit. 

“Abang sulung (Mohd Khirul Anwar, 25) pula bekerja kampung dengan upah harian digunakan bagi membantu menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Adik bongsu (Nur Ain Natasha, 9) menerima bantuan persekolahan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan,” katanya. 

Mohd Yusri berkata, jarak untuk ke rumah yang terletak di dalam kebun kelapa sawit menyukarkan pergerakan mereka sekeluarga. 

"Antara rumah dengan jiran terdekat kira-kira 300 meter dengan menggunakan laluan kebun kelapa sawit yang berlopak dan tanah merah.

“Saya bimbang tinggalkan ayah seorang diri di rumah, memang sukar untuk kami dapatkan bantuan jika apa-apa berlaku pada ayah secara mengejut kerana rumah jiran jauh.

“Tapi kami sekeluarga bersyukur kerana masih ada rumah untuk berteduh dari hujan dan panas dan meneruskan kehidupan,” katanya. 

Kepada individu yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Yusri di talian 016-7890906.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!