14 Julai 2015


Kaherah: Sejak kematian ketua pendakwa raya Mesir, Hisham Barakat dalam serangan bom pada 29 Jun lalu, beberapa pemerhati meramalkan kerajaan bakal mengambil beberapa tindakan drastik termasuk melaksanakan hukuman mati terhadap bekas presiden Mohamed Mursi.

Seorang wartawan, Khaled Abd al-Jaber memberitahu, satu sumber yang rapat dengan Menteri Keadilan, Ahmed al-Zind mendedahkan maklumat mengenai rancangan untuk memuktamadkan hukuman mati terhadap Mohamed dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Adakah ini masanya untuk melaksanakan hukuman mati terhadap Mohamed dan pengikutnya?” kata Khaled dalam laman Twitternya.

Ketika pengebumian Hisham, Presiden Abdel Fattah al-Sisi berjanji untuk melakukan perubahan bagi membolehkan hukuman mati dilaksanakan secepat mungkin.

Abdel Fattah tidak mendedahkan perubahan itu, tetapi ramai pihak berpendapat dia mungkin meminda proses rayuan.

Ketika ini, hukuman mati perlu mendapat kelulusan mufti besar Mesir dan sekiranya diluluskan pesalah masih mempunyai proses rayuan yang mengambil masa yang lama.

Pemimpin parti pembangkang Mesir, Ayman Nour dalam satu wawancara dengan portal berita Arabi21, memberi amaran kepada Abdel Fattah supaya tidak menghukum mati Mohamed.

“Langkah ini bakal memberi kesan yang akan menjejaskan karier politik Abdel Fattah.

“Tiada siapa di Mesir atau rantau ini dan juga seluruh dunia yang dapat menerima cara dia membalas dendam terhadap Mohamed seperti itu,” katanya.

Dia juga menjangkakan Mohamed akan menerima nasib yang sama seperti bekas presiden Iraq, Saddam Hussein yang dihukum mati pada pagi Hari Raya 2006.

Seorang wartawan Palestin, Abdel Bari Atwan berkata, dia tidak terkejut apabila bangun pada pagi hari raya nanti dan mendengar berita Mohamed dan para pemimpin pembangkang lain telah dihukum mati.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!