15 Julai 2015


PAS akhirnya berpecah apabila bekas Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu atau Mat Sabu bersama 18 lagi pemimpin menubuhkan sebuah parti baharu dalam kerangka pakatan pembangkang.

Peristiwa wujudnya sebuah parti serpihan daripada Pas berulang. Sebelum ini sudah ada Hizbul Muslimin (HAMIM) dan Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) tetapi kedua-dua parti itu hanya tinggal sejarah.

Ternyata, kekalahan dalam pemilihan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 di Kuala Selangor pada awal Jun lalu `mengukir luka yang amat dalam’ kepada Mat Sabu dan rakan-rakannya. Penolakan secara total perwakilan Pas yang membawa suara akar umbi terhadap kumpulan profesional atau disebut-sebut sebagai Anwarinas benar-benar mengecewakan mereka.

Penulis sebenarnya sudah merasakan kekecewaan itu ketika mendengar ucapan penggulungan mereka pada muktamar lalu. Biarpun mereka bercakap soal istiqamah dan kesetiaan kepada parti serta menganggap kekalahan adalah dugaan Allah SWT dalam perjuangan namun “mulut yang berbicara belum tentu sama dengan hati yang terluka.’’

Sebab itulah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas penubuhan parti baharu tersebut meminta Mat Sabu menyemak kembali kenyataannya berhubung soal istiaqamah dalam Pas.

“Beliau sendiri (Mat Sabu) selalu ingatkan ahli jangan khianati parti, sabotaj parti, kita kena istiqamah…’’ kata Tuan Ibrahim yang menewaskan Mat Sabu bagi jawatan tersebut.

Sebenarnya kalau sejarah Pas mahu diimbas, biarpun tewas mempertahankan jawatan Timbalan Presiden, Mat Sabu sepatutnya gembira. Ini memandangkan Mat Sabu ialah antara individu paling bertanggungjawab mewujudkan gerakan kepemimpinan bersama ulama dalam Pas ketika beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat. Tetapi malang sekali apabila golongan ulama menang Mat Sabu bagaikan `membawa diri’.

Bagaimanapun kewujudan parti baharu itu bukanlah satu kejutan. Ini kerana penubuhannya sudah lama diuar-uarkan apabila golongan ulama Pas termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin menunjukkan ketegasan dalam berhadapan dengan kebiadaban politik DAP.

Soalnya, sejauh manakah kehadiran parti pimpinan Mat Sabu itu mampu menggugat kedudukan Pas sebagai sebuah parti Islam? Bagaimana pula dengan ahli-ahli Pas? Siapakah pilihan mereka dalam pilihan raya? Timbul juga persoalan mengenai baiah yang didakwa dilafazkan oleh beberapa pemimpin Pas yang bersama-sama dengan Mat Sabu. Apakah baiah itu akan terpakai atau tidak? Penulis difahamkan isi kandungan baiah itu ‘cukup menarik’ tetapi sama ada betul atau tidak hanya pemimpin-pemimpin terlibat sahaja mengetahuinya.

Tambahan pula ada yang menyatakan baiah itu hanya terpakai jika mereka meletakkan jawatan atau mengumumkan keluar parti, mungkin atas sebab inilah pemimpin yang terlibat lebih bersedia dipecat atau gugur secara automatik sebagai ahli Pas.

Ramai yang membuat andaian parti Mat Sabu akan bekerjasama rapat dengan DAP memandangkan selama ini kesemua pemimpinnya dilihat `begitu sayang’ kepada tahaluf siyasi dengan DAP sehingga mereka tersingkir daripada Pas. Kalau itu berlaku, apakah parti Mat Sabu mampu membuktikan kepada DAP, mereka rakan kongsi yang berharga sedangkan mereka berada pada kedudukan politik selama ini adalah atas nama Pas? Kalaulah Pas begitu mudah diperkotak-katikkan oleh DAP sepanjang berada dalam pakatan pembangkang dan sering sahaja dipaksa menurut kehendak parti itu dan PKR, adakah Mat Sabu boleh memastikan partinya tidak menerima nasib yang sama?

Adakah DAP akan memberi peluang dan ruang untuk pemimpin-pemimpin parti serpihan Pas itu bertanding di kubu-kubu kuatnya dalam pilihan raya umum nanti? Adakah DAP akan mengizinkan parti Mat Sabu tersebut meneruskan legasi perjuangan pemimpin Pas terdahulu seperti bekas Presidennya, Allahyarham Yusuf Rawa, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Apakah selama ini legasi ketiga-tiga pemimpin tersebut tidak dibawa dalam perjuangan Pas sekarang? Tidakkah ketiga-tiga pemimpin berkenaan sentiasa berpegang teguh kepada perjuangan Islam yang ditolak oleh DAP? Kalau begitu bagaimana Mat Sabu hendak meneruskan legasi mereka dalam parti baharu nanti? Sebab itulah penulis percaya, parti baharu pimpinan Mat Sabu ini tidak akan ke mana, walaupun disertai oleh pemimpin-pemimpin yang boleh dianggap hebat tetapi kehebatan mereka selama ini bergantung kepada Pas.

Bagaimanapun jika DAP bersedia bekerjasama dengan parti Mat Sabu itu ia bukanlah satu kejutan kerana kesemua pemimpin Pas terlibat memang rapat dengan DAP. Malah dalam isu tertentu ada dalam kalangan pemimpin Pas itu mempertahankan DAP lebih daripada pemimpin DAP sendiri. Tidak mustahil juga parti Mat Sabu akan bekerjasama dengan PKR kerana hubungan baik antara mereka selama ini.

Kalau kerjasama itu wujud, kita akan menyaksikan carcamarba lebih serius dalam politik pakatan pembangkang. Mereka akan menghasilkan ‘politik Keluarga 69’ memandangkan PKR bekerjasama dengan DAP dan Pas, tetapi Pas tidak bekerjasama dengan DAP, parti Mat Sabu akan bekerjasama dengan PKR tetapi tidak bekerjasama dengan Pas. Kesudahannya apa akan jadi jika mereka menang pilihan raya?

Walaupun ramai berpendapat, kemunculan parti baharu itu akan meletakkan kedudukan Pas semakin tersepit dalam kerangka pembangkang namun fakta yang tidak boleh dinafikan PKR memerlukan Pas. PKR tidak akan bergantung kepada parti Mat Sabu kerana kesemua pemimpin Pas di dalam parti baharu berkenaan berada di kerusi yang dianggap kubu Pas. Sebahagian kerusi PKR sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) memerlukan sokongan pengundi Pas. Apakah PKR sanggup mengorbankan semua itu semata-mata mahu menjaga hubungan dengan Mat Sabu?

Tidak kisah apapun keadaannya yang pasti orang Melayu berpecah lagi. PKR wujud selepas konflik dalam UMNO manakala parti Mat Sabu terbentuk kerana perpecahan dalam Pas, tetapi DAP tidak ada parti serpihan, sebaliknya bekerjasama dengan parti serpihan orang Melayu untuk menguatkan kuasa politiknya, oleh itu siapa yang untung?

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!