28 Julai 2015


KEPUTUSAN yang dibuat Majlis Syura Ulama Pas memutuskan hubungan tahaluf siyasi Pas dengan DAP pada 11 Julai lalu adalah satu tindakan bijak dan tepat.

Tindakan berkenaan diambil di­sebabkan provokasi berterusan DAP termasuk seringkali campur tangan dalam soal akidah, dasar dan haluan Pas. Bagi Pas, tindakan yang dibuat oleh parti itu telah melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat (PR), khususnya dalam konteks tahaluf siyasi parti itu dengan DAP.

Bagi DAP pula, keputusan itu memang dinantikannya kerana sebelum berlangsungnya Muktamar Pas Jun lalu, parti itu sudah menyatakan pendiriannya tidak lagi bersama Pas kerana menentang pendirian Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Ekoran keputusan muktamad yang dibuat Majlis Syura Ulama Pas itu, kumpulan yang tewas (dikenali G18) dalam pemilihan Pas pada Jun lalu mengumumkan penubuhan sebuah kumpulan dinamakan “Gerakan Harapan Baharu” (GHB).

Menurut Pengerusinya Mohammad Sabu, GHB akan dijadikan landasan untuk menubuhkan parti politik baharu berteraskan Islam.

Parti baharu yang bakal dibentuk itu akan memperjuang usaha penubuhan gabungan pembangkang yang baharu. Gerakan itu akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat.

Gerakan ini juga akan mendukung nilai-nilai demokratik dalam sebuah negara demokrasi yang subur dan berfungsi serta menghormati kedudukan semua kaum, agama dan budaya.

Parti baharu yang bakal ditubuhkan itu bersedia untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi membentuk pakatan baharu dikenali ‘Pakatan Rakyat 2.0’. Inilah yang diinginkan DAP yang tidak lagi serasi dengan golongan ulama dalam Pas yang kuat memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud.

Beberapa bulan sebelum Muktamar Pas bermula, pemimpin parti DAP telah menyerang peribadi Abdul Hadi dengan memburuk-burukkan imej ulama Pas itu. DAP juga berjaya memecahkan Pas kepada dua kumpulan iaitu kumpul­an progresif yang pro kepadanya dan kumpulan konservatif yang pro ulama. DAP juga berusaha membentuk dan menanamkan persepsi buruk dan negatif masyarakat, terutama orang bukan Islam terhadap kepimpinan ulama Pas.

Yang jelas, kejayaan paling besar DAP selepas Muktamar Pas adalah berjaya memecah-belah Pas. Kini, DAP sedang berusaha memecah hubungan Pas dengan PKR dengan ugutan agar Pas disingkirkan dari kerajaan Selangor. Caranya dengan mengungkit isu Menteri Besar Se­langor dulu. Sebenarnya, jika diperhalusi perkembangan yang berlaku dalam pakatan rapuh pembangkang itu maka dapat fahami terdapat usaha licik DAP untuk memecah-belah dan melemahkan kedudukan politik orang Melayu di negara ini.

Dengan lahirnya politik baharu itu, orang Melayu akan lebih berpecah dalam politik. Dalam masa sama DAP akan berusaha meraih keuntungan politik daripada parti baharu yang dipimpin oleh kumpulan G18 yang keluar daripada Pas.

Parti baharu itu akan direstui oleh DAP. Abdul Hadi dapat memahami kelicikan DAP dan mengingatkan pemimpin dalam GHB agar tidak berwalikan DAP.

Bagi DAP penubuhan parti baharu itu penting bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti. Ahli dan penyokong Pas tidak mungkin akan memberikan sokongan parti itu lagi setelah ke­dua-dua parti itu bercerai. Justeru, harapan digantungkan kepada parti baharu yang bakal ditubuhkan yang kononnya akan menampilkan Islam yang lebih progresif di negara ini.

Islam progresif yang dikehendaki DAP itu bukannya Islam yang memperjuangkan undang-undang Islam dan penubuhan negara Islam seperti yang diperjuangkan Pas tetapi Islam yang boleh diselari dan diserasikan dengan wadah perjuangan DAP.

Di negara ini, mana-mana parti politik yang dapat menarik sokongan besar orang Melayu akan merintis jalan untuk menguasai politik Malaysia. Dalam permainan licik ini, DAP cuba menyembunyikan wataknyasupaya dapat menarik lebih ramai sokongan Melayu terhadap parti itu. Kini, terdapat kecenderungan orang Melayu menyertainya. Sukar untuk dipastikan punca sebenar orang Me­layu cenderung untuk menyertai DAP sedangkan kaum India yang sudah lama bersama DAP semakin tidak mempercayai parti itu dan sokongan kaum itu terhadap parti itu semakin merudum sebelum PRU-13 lagi.

Satu cara yang cuba digunakan DAP untuk menarik sokongan orang Melayu ialah dengan menunjukkan kemesraannya dengan Islam. Pemimpin DAP menggunakan ayat-ayat al-Quran, mengadakan majlis berbuka puasa dan pelbagai cara lain untuk mendapatkan sokongan orang Me­layu. Cara ini pernah digunakan oleh Parti Komunis Tanah Melayu (PKM) yang berusaha menarik sokongan Melayu sedangkan ia sangat anti-Islam.

Walaupun usaha komunis itu gagal menarik sokongan besar orang Melayu tetapi PKM dengan bantuan beberapa tokoh komunis dari Indonesia berjaya menarik segelintir orang Melayu menyokong perjuangannya dengan menjadikan PKM lebih bersifat keMalayaan.

Hari ini kita melihat pemimpin DAP cuba menggunakan agama Islam untuk menarik sokongan lebih ramai orang Melayu. Sekarang ini pun sudah ada segelintir generasi muda Melayu yang terpengaruh dengan muslihat DAP itu termasuklah mereka yang berpurdah.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!