29 Julai 2015


Faktor kewangan bukan masalah utama andai Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2028 bersama Singapura.

Setiausaha Kehormat Majlis Olim­pik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, malah percaya Malaysia dan Singapura mempunyai ke­upayaan untuk menganjurkan Sukan Olimpik untuk julung kalinya.

Tambah Kok Chi, sekiranya terpilih sebagai tuan rumah Olimpik, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan sentiasa peka dengan keperluan penganjur te­masya berprestij itu dan akan membantu sebaiknya.

“Penganjur boleh meminta apa sahaja bantuan daripada IOC untuk memastikan Sukan Olimpik tersebut dapat berlangsung tanpa sebarang masalah.

“Pada saya kewangan bukan masalah utama sebagai penganjur Sukan Olimpik kerana apa yang penting kini adalah adakah kita mahu menganjurkannya atau tidak.

“Pada masa ini semuanya masih lagi cadangan dan tiada keputusan rasmi dibuat, malah kita mempunyai masa yang panjang untuk memikirkannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malayisa, di sini semalam.

Kewangan adalah antara perkara yang menjadi perkara utama difikirkan oleh sesebuah negara yang mahu menjadi tuan rumah Sukan Olimpik kerana temasya itu memerlukan peruntukan besar, terutama untuk menyediakan infrastruktur sukan.

Semalam, akhbar melaporkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang mengakui baru menge­tahui cadangan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar untuk membida Olimpik 2028 bersama Singapura, menasihatkan MOM membentangkan cadangan itu kepada kerajaan untuk diperhalusi terlebih dahulu.

Sementara itu, Kok Chi berkata, perkara utama yang perlu difikirkan ketika ini andai Malaysia serius mahu menjadi tuan rumah bersama Sukan Olimpik 2028 adalah mendapatkan persetujuan pihak Singapura.

Kata Kok Chi, sekiranya Singapura bersetuju untuk menjadi tuan rumah bersama pasti ada beberapa syarat yang akan ditetapkan dan semuanya memerlukan penelitian mendalam.

“Jika hanya Malaysia sahaja bersetuju tetapi Singapura tidak maka cadangan untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2028 tidak akan menjadi kerana apabila menjadi tuan rumah bersama maka ke­dua-dua negara perlu bersama-sama bersedia untuk melaksanakannya.

“Bagi saya andai persetujuan dua negara dapat diperoleh maka sudah tentu ini akan menjadi sesuatu yang hebat untuk sukan negara kerana dapat menganjurkan Sukan Olimpik,” kata Kok Chi.

Pembidaan untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2028 akan bermula pada 2019 dengan pemenangnya akan diumumkan pada 2021 semasa Sesi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ke-134.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!