14 Julai 2015


Pas bakal berdepan persaingan sengit daripada beberapa bekas pemimpinnya sendiri sebaik sahaja mereka berjaya menubuhkan sebuah parti politik Islam baharu dalam kerangka pakatan pembangkang.

Parti politik tersebut akan ditubuhkan melalui inisiatif Gerakan Harapan Baru yang dipengerusikan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Gerakan itu turut dianggotai bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa; bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Khalid Abdul Samad, Mohamed Hanipa Maidin dan Dr. Mohd. Hatta Ramli serta bekas Ketua Dewan Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat.

Mereka merupakan sebahagian daripada 18 bekas pemimpin Pas yang gagal mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan parti pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 di Kuala Selangor awal bulan lalu.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, gerakan tersebut akan memulakan kempen jelajah ke seluruh negara selama sebulan mulai akhir bulan ini.

Menurut beliau, politik Islam yang mereka bawa memberi penekanan kepada soal akhlak, moraliti dan amanah dalam tadbir urus pemerintahan serta interaksi dengan semua pihak.

“Islam yang diperjuangkan bukannya dalam bentuk slogan, emosi dan sentimen tetapi sebagai tawaran rahmat dan keadilan yang memberi kesejahteraan untuk rakyat serta menjamin kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, Gerakan Harapan Baru juga akan meneruskan legasi perjuangan pemimpin-pemimpin Pas terdahulu seperti bekas Presidennya, Allahyarham Yusuf Rawa dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor serta bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menjayakan usaha penubuhan pakatan pembangkang yang baharu.

Beliau turut mengakui hakikat bahawa pakatan pembangkang yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP kini gagal berfungsi sepertimana pada peringkat awal penubuhannya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!