1 Julai 2015


MEDAN – Sebuah pesawat pengangkut tentera Indonesia terhempas dan merempuh sebuah hotel serta kawasan kejiranan di bandar Medan, utara pulau Sumatera semalam dengan meragut sekurang-kurangnya 116 nyawa, kata seorang pegawai agensi mencari dan menyelamat kebangsaan.

"Itu maklumat terkini, bilangan mangsa mungkin meningkat," kata jurucakap agensi Basarnas, Hisar Turnip.

Jurucakap tentera, Fuad Basya berkata, seramai 113 orang termasuk juruterbang dan 12 kru berada di dalam pesawat C-130B Hercules berkenaan. Sebanyak 55 mayat mereka telah ditemui.

"Pesawat itu berlepas pukul 12.08 tengah hari (waktu tempatan) dari sebuah pangkalan tentera udara dan terhempas di Medan dalam masa dua minit kemudian pada jarak sekitar lima kilometer," katanya.

Rakaman televisyen tempatan menunjukkan beberapa buah rumah dan hotel terbakar, manakala asap hitam naik ke udara di lokasi kemalangan.

Menurut badan pemantau Rangkaian Keselamatan Penerbangan, terdapat 10 kemalangan maut melibatkan pesawat tentera atau polis Indonesia sejak lebih 10 tahun lalu.

Angka itu membayangkan rekod keselamatan industri penerbangan Indonesia dan pesawat komersial serta tentera negara itu yang semakin usang. Fuad memaklumkan bahawa pesawat yang terhempas itu dibina pada 1964.

Menurutnya lagi, pesawat Hercules itu dalam perjalanan dari sebuah pangkalan tentera udara di Medan menuju ke kepulauan Natuna, pedalaman Indonesia.

Media tempatan pula melaporkan bahawa juruterbang pesawat menghubungi menara kawalan untuk berpatah balik kerana menghadapi masalah teknikal sebelum nahas berlaku.

"Pesawat itu terbang di atas kami beberapa kali, terbang sangat rendah. Ada api dan asap hitam. Kapal terbang itu merempuh bumbung hotel dan meletup ketika melalui kawasan ini pada kali ketiga," kata penyambut tetamu Hotel Golden Eleven, Elfrida Efi.

Elfrida berkata, kapal terbang itu turut melanggar sebuah rumah urut yang dipenuhi pengunjung manakala pegawai perhubungan awam Hospital Besar Pusat Adam Malik, Sairi M. Saragih memberitahu, pihaknya menerima puluhan mayat setakat ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!