8 Julai 2015


Penyakit jantung membuatkan jangka hayat kaum lelaki lebih pendek berbanding wanita, sekali gus menjadi dalang utama kepada perbezaan jangka hayat antara kedua-dua jantina itu.

Menurut kajian sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS), ketika individu yang dilahirkan pada sekitar 1800 dan awal 1900 mengguna pakai pelbagai langkah pencegahan penyakit, diet yang ditambah baik dan kehidupan sihat, kadar kematian menurun dengan mendadak.

Namun, wanita mula meraih manfaat umur yang panjang pada kadar yang lebih cepat, lapor Mail Online.

Berikutan penurunan tetapi tidak sekata daripada segi kematian, satu kajian data global oleh sepasukan penyelidik dari Universiti Southern California (USC) mendapati, penyakit jantung menjadi punca kematian kepada kebanyakan lelaki dewasa.

“Kami terkejut bagaimana perbezaan kadar kematian antara lelaki dan wanita yang bermula sekitar 1870-an yang tertumpu kepada lingkungan umur 50 hingga 70-an dan mula hilang dengan mendadak selepas umur 80 tahun,’’ kata pensyarah USC, Eileen Crimmins.

Kajian itu memberi tumpuan kepada jangka hayat individu yang dilahirkan antara 1800 dan 1935 di 13 buah negara maju.

Dengan memberi tumpuan kepada jangka hayat individu berumur 40 tahun, pasukan itu mendapati, kadar kematian wanita yang dilahirkan selepas 1880 menurun sebanyak 70 peratus lebih cepat berbanding lelaki.

Meskipun penyelidik mengawal penyakit berkaitan merokok, penyakit jantung dilihat masih kekal menjadi punca majoriti kematian lelaki dewasa melebihi umur 40 tahun bagi tempoh yang sama.

Agak mengejutkan, kata Crimmins, amalan merokok hanya menyumbang kepada 30 peratus bagi perbezaan jangka hayat antara jantina selepas 1890.

Sementara itu, kesan tidak sama rata bagi penyakit jantung yang dikaitkan dengan lelaki terutamanya buat umur pertengahan dan awal usia emas menimbulkan persoalan sama ada lelaki dan wanita berdepan risiko sakit jantung kerana risiko biologi yang wujud atau faktor perlindungan pada pelbagai peringkat kehidupan mereka.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!