2 Julai 2015


DEMI menjaga hati semua pihak, pada awalnya memang dia sendiri enggan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai status pertunangannya. Bagaimanapun melihat bekas tunang sudah mengeluarkan versi pengakuan sendiri, sekali gus membenarkan desas-desus cinta mereka sudah berakhir, Adira yakin kala ini adalah waktu yang sesuai untuk bersuara.

Benar sejak Mei lalu mereka sudah memilih untuk memutuskan hubungan, bagaimanapun bukan mudah sebenarnya mahu membuat keputusan tersebut memandangkan Adira juga mengimpikan kebahagiaan seperti orang lain.

Percaya ada hikmah yang tersembunyi melalui semua dugaan yang hadir, pintanya jangan terus menghukum memandangkan apa yang diperlukan kini adalah doa yang baik.

“Saya memang tidak baca apa yang orang komen, tetapi saya memang tahu ada macam-macam kenyataan yang dikeluarkan mereka ini.

“Bagi saya, cukuplah apa yang berlaku ini hanya saya dan Shahrul sahaja yang tahu, tidak perlu kami libatkan orang lain,” katanya.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, tidak manafikan apa yang berlaku itu mempunyai punca sendiri.

Bagaimanapun ketika diajukan soalan sama ada benar kisah yang mengatakan bekas tunangnya itu cuba mengorat Elizabeth Tan sebagai sebab mereka berpisah, Adira enggan berkongsi apa-apa.

“Saya sebagai wanita sudah sedaya upaya menyelamatkan hubungan ini, tetapi kita perlu tahu apa-apa sahaja perlu bergantung kepada jodoh juga. Jadi saya reda dengan apa yang berlaku.

“Tidak perlu kaitkan sesiapa dalam hal ini memandangkan ini adalah terlalu peribadi untuk saya bercerita. Namun saya yakin setiap peristiwa yang berlaku dalam hidup ini mengajar saya, dan berkenalan dengan Shahrul juga membuka peluang untuk saya mengenal keluarganya yang sudah saya anggap seperti keluarga saya,” katanya lembut.

Hampir dua tahun menjalin hubungan cinta, ramai sebenarnya yang mahu melihat Adira dan kekasihnya itu disatukan. Cuma bila timbul kenyataan yang mereka kini sudah putus tunang ada yang mula tertanya bagaimana sebenarnya keadaan wanita yang berasal dari Sabah ini.

“Saya baik-baik sahaja sehingga kini malah agak sibuk dengan urusan kerja. Senang cerita saya sudah move-on.

“Kala ini fokus saya lebih kepada keluarga dan kerjaya. Malah orang yang paling penting dalam hidup saya sekarang adalah ibu saya. Saya akan pastikan dia bahagia dengan cara apa sekalipun,” katanya yang turut bangga dengan gelaran budak kampung yang dibawanya sehingga kini.

Satu demi satu pendedahan yang berlaku, banyak nasihat menjurus kepada Adira agar terus tabah. Mungkin saat ini juga ada yang sudah membuat kesimpulan sendiri tentang apa yang terjadi di antara Adira dan bekas tunangnya itu.

Enggan terlalu memikirkan apa yang terjadi, kata Adira, sehingga saat ini dia mahu harapkan yang terbaik buat semua pihak.

“Tidak timbul soal sakit hati atau dendam. Sebabnya saya mahu doakan kebahagiaan dan kejayaan buat semua orang, termasuk Shahrul. Saya yakin dengan cara itu sahaja untuk kebahagiaan buat diri saya.

“Tentang rakan artis Elizabeth pula sehingga hari ini saya tiada apa-apa masalah dengan dia. Pada saya, kami berdua kekal sebagai rakan. Jadi jangan buat spekulasi,” katanya.

Raya berbeza

Jika sebelum ini dia sempat menyambut hari raya di Kelantan bersama keluarga kekasih nampaknya tahun ini akan berbeza buat Adira sendiri. Katanya tahun ini dia akan menghabiskan masa bersama keluarga sahaja dalam mengharungi pelbagai dugaan yang sedang mereka lalui sekarang.

“Tahun ini saya akan pulang ke Sabah, menyambutnya bersama keluarga. Walaupun dengan kejadian gempa bumi dan sebagainya saya fikir lebih elok bersama keluarga.

“Kalau sambut di Kuala Lumpur juga rasanya tiada siapa keluarga saya yang akan setuju, jadi saya fikir elok sahaja pulang ke sana Hari Raya ini,”ujarnya.

Tiada banyak persiapan yang dilakukan Adira untuk raya tahun ini, cuma kata penyanyi putih melepak ini harapannya agar sambutan Hari Raya tahun ini lebih bermakna.

“Persiapan itu biasa-biasa sahaja, selalunya apa yang paling seronok adalah untuk bersama keluarga sahaja.

“Hanya seminggu bercuti saya akan kembali bekerja seperti biasa, jadi saya mahu gunakan waktu cuti ini kelak dengan sempurna,” katanya.

Sibuk jenguk kampung

Baru-baru ini gempa bumi kuat melanda Sabah, tentunya sebagai anak Sabah Adira sendiri runsing memikirkan keselamatan orang kampungnya. Jelas Adira, semenjak bencana alam itu berlaku dia kini tidak senang memikirkan keselamatan ibu dan sanak saudaranya yang masih memilih untuk tinggal di sana.

“Saya memang berulang-alik ke kampung saya yang terletak di Kundasang, bukan apa risau juga keselamatan ibu yang kini tinggal seorang diri.

“Memandangkan sukar memujuk ibu saya untuk terus tinggal di Kuala Lumpur, jadi mahu tak mahu saya yang perlu berkorban untuk pulang ke sana,” katanya.

Tidak sekadar hanya risau tentang ibunya, kata Adira, dia juga mengambil pendekatan untuk membantu orang kampungnya yang lain. Selain bantuan moral tentunya menghulurkan bantuan dari segi makanan menjadi agendanya semenjak bencana alam itu berlaku.

“Bila tahu kejadian itu berlaku memang saya tidak keruan. Bayangkan kita yang jauh ini memi-kirkan kesela-matan ahli keluarga yang lain.

“Walaupun semuanya sudah dalam proses pemulihan sekarang saya tahu bukan mudah, sebab
itu saya juga hulurkan bantuan terutamanya dari segi makanan dan sebagainya,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!