8 Julai 2015


KOTA BHARU - ‘Tangan ghaib’ yang mengganggu Mohd. Azraai Khor Abdullah sehingga dia meletakkan jawatan jurulatih Kelantan perlu didedahkan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah menerima makluman dari Mohd. Azraai mengenai peletakan jawatannya, dan kini beliau juga mahu tahu siapa yang mengganggu jurulatih The Red Warriors itu dalam menjalankan tugas-tugasnya seperti didakwa.

Akhbar semalam melaporkan Mohd. Azraai memaklumkan bahawa beliau sudah penat melayani tangan ghaib yang sering mengganggu tugasnya sepanjang lebih tiga bulan membimbing Kelantan setelah mengambil alih daripada George Boateng.

Jurulatih berusia 63 tahun itu berkata, dia sudah tidak larat hendak melayani kerenah beberapa individu yang sering mencampuri urusannya sehingga menyukarkan dia membuat perancangan untuk menghadapi perlawanan Liga Super sehingga memaksanya menghantar surat meletak jawatan kelmarin.

“Saya mengesahkan saya menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) dari coach Azrai hari Ahad bahawa beliau meletakkan jawatan. Jawapan saya ialah saya akan rujuk kepada KAFA.

“Kemudian saya terbaca komen bahawa ada tangan ghaib mengganggu tugas coach... Ini serius kerana saya sendiri tak pernah mencampuri urusan coach. Jadi saya nak tahu siapa dan dari mana tangan ghaib itu... Elok didedahkan.

“Soal kejurulatihan seterusnya saya akan rujuk kepada Majlis sama ada KAFA akan mengambil jurulatih baharu. Saya akan temui pasukan minggu depan, in sya Allah,” kata Annuar menerusi Facebook.

Sementara itu Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB), Mohd. Zainy Mohd. Zaain berkata, tindakan KAFA untuk menyiasat dakwaan Mohd. Azraai itu amat penting untuk mencari kebenaran.

Menurutnya, dakwaan itu cukup serius dan tidak boleh diambil mudah kerana boleh memberikan persepsi negatif kepada KAFA sendiri.

“Saya memuji tindakan pantas yang dilakukan oleh Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail de­ngan membuat keputusan untuk menyiasat perkara ini.

“Tindakan ini pastinya memberikan kelegaan kepada penyokong The Red Warriors dan memperlihatkan kesungguhan KAFA menangani isu tersebut dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Utusan di sini semalam.

Mohd. Zainy memberitahu, penyokong juga inginkan kebenaran menerusi maklumat yang betul daripada siasatan berkenaan nanti.

Katanya, beliau khuatir jika maklumat yang diterima penyokong itu tidak sahih boleh memburukan lagi keadaan seterusnya merugikan pasukan.

Mohd. Zainy turut mencadang­kan supaya KAFA dan Azraai membincangkan isu ini demi menjernihkan keadaan dan me­rungkai segala kekusutan.

Katanya, langkah itu perlu dibuat demi kepentingan pasukan untuk jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Mohd. Zainy berterima kasih kepada Mohd. Azraai atas sumbangan yang diberikan sepanjang mengendalikan pasukan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!