12 Ogos 2015


Serpihan yang ditemukan di perairan Maldives kemungkinan besar merupakan objek dari sebuah baj yang karam di negara kepulauan itu pada Februari lalu.

Kapten baj tersebut, Abdulla Rasheed memberitahu portal berita Haveeru yang dipetik portal news.com.au, ketika kejadian, kapal itu sedang membawa sebanyak 4,000 unit panel dinding.

Menurut Abdulla, bahan-bahan itu sedang dihantar ke sebuah pusat peranginan baharu di Ra Atoll apabila baj tersebut karam pada 10 Februari lalu.

“Daripada gambar-gambar serpihan yang ditemukan di kebanyakan pulau di negara ini, saya hampir pasti kesemua serpihan yang ditemukan itu adalah kargo yang kami bawa di atas baj tersebut,’’ katanya.

Semalam, portal Mirror.co.uk melaporkan, penduduk Maldives menemukan serpihan-serpihan aneh termasuk objek yang mempunyai kesan terbakar menyerupai serpihan pesawat terdampar di empat buah kepulauan Maldives sejak dua bulan lalu.

Sejak berita itu tersebar, Malaysia secara rasmi meminta Maldives membantu operasi pencarian serpihan yang berkemungkinan adalah dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada Mac tahun lalu.

Semua serpihan yang ditemukan penduduk Maldives itu kini disimpan di sebuah gudang sebelum diperiksa pakar dari Malaysia bagi menentukan kesahihan dakwaan mereka.

Bagaimanapun, pakar menolak andaian serpihan MH370 boleh terdampar di Maldives sekiranya flaperon atau bahagian sayap yang ditemukan di Pulau Reunion pada Julai lalu adalah serpihan pesawat MH370.

Pakar oseanografi pantai dari Universiti Australia Barat, Profesor Charitha Pattiaratchi berkata, adalah mustahil untuk serpihan terdampar dari kedua-dua belah Khatulistiwa.

“Sekiranya serpihan berasal da­ripada tempat pencarian di Hemisfera Selatan, tidak satu daripada serpihan itu akan bergerak ke utara.

“Serpihan itu tidak boleh menyeberangi hemisfera kerana corak arus dan angin,’’ katanya, sambil menambah, sukar untuk difahami bagaimana objek MH370 akan terdampar di Pulau Reunion dan juga Maldives.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!