Sebagai seorang isteri, pelakon Almy Nadia berpendapat dia perlu mempertahankan suaminya dalam keadaan apa sekalipun meskipun perbualan Fizz Fairuz yang memperlihatkan kecurangannya bersama wanita lain di dalam aplikasi WeChat tersebar.
"Saya tak tahu apa-apa mengenainya sehinggalah pihak media menelefon dan bertanyakan perkara itu sendiri kepada saya. Jadi kalau nak tahu kebenarannya, kena tanyakan pada Fizz sendiri. Saya tak boleh nak komen apa-apa.
"Namun, apa-apa pun yang berlaku, saya tetap akan mempertahankan Fizz kerana dia suami saya.Lagipun, syurga saya di bawah tapak kaki suami," katanya kepada murai.com.my ketika dihubungi.
Terdahulu, pada awal pagi tadi, portal Murai ada mengeluarkan laporan mengenai isu kecurangan Fizz dengan wanita lain yang telah pun viral di laman sosial.
Screen Capture yang menyaksikan perbualan di antara Fizz dengan wanita yang menggunakan nama Fara Mendoza itu difahamkan telah tersebar di akaun Instagram @miss_kepoh malam semalam.
Selain itu, Almy Nadia berkata, dia kini tidak akan cepat melatah lagi apabila berhadapan dengan isu yang seumpama itu.
"Saya tak tahu kebenarannya. Mungkin benar dan mungkin juga ada pihak tertentu yang sengaja mahu memperdajalkan Fizz untuk meraih perhatian.
"Namun saya tidak akan cepat melatah dengan apa yang berlaku dan saya rasa saya sudah semakin matang sejak berumahtangga.
"Lagi pun sekarang ini, saya lebih sibuk menguruskan anak dan rumahtangga daripada memikirkan benda-benda yang sebegini," jelasnya.