5 Ogos 2015


AWAL tahun ini membawa perkhabaran berbeza buat pelakon Riezman Khuzaimi. Menduda selepas hampir 15 tahun berkahwin ternyata ada kisah terbaharu dari pelakon berusia 45 tahun ini. Sebelum ini Riezman sendiri pernah memberitahu bagaimana dia menyimpan impian untuk bersatu kembali dengan bekas isterinya Kartina Ayub.

Walaupun tiada tanda ke arah itu lagi, jelas Riezman dia tetap reda dengan sebarang keadaan kini. Sementara itu, berkongsi rutin kehidupannya, kata Riezman memandangkan kesemua anak-anaknya kini sudah tinggal bersama bekas isterinya di luar negara, nampaknya perkataan ‘bujang’ memang menggambarkan kehidupan sebenarnya kini.

Bagaimana kehidupan Riezman kini?

Berbeza, jika dahulu fokus saya banyak kini hanya kepada perniagaan dan karier lakonan. Memandangkan anak-anak sudah berhijrah keluar negara bersama ibu mereka, jadinya saya hanya tinggal seorang di sini.

Apa yang membuatkan Riezman melepaskan anak-anak berhijrah?

Dalam hal ini saya tidak boleh penting diri, saya perlu fikir potensi pendidikan mereka di sana. Sudah hampir setahun di sana saya fikir anak-anak saya selesa untuk tinggal di Perth, Australia. Bukanlah saya kata pendidikan di sini tidak bagus, cuma mencari yang terbaik untuk mereka saya relakan mereka tinggal jauh daripada saya.

Maksudnya kalau mahu berjumpa anak-anak Riezman akan ke sana?

Kalau saya ada masa, mungkin saya akan ke sana. Tetapi selalunya anak-anak saya memang akan pulang ke Malaysia kalau cuti persekolahan, jadi tidak ada masalah sebenarnya. Malah setiap hari juga tiga atau empat kali juga mereka akan menghubungi saya.

Bagaimana sebenarnya hubungan Riezman dengan Kartina?

Kami bagaikan rakan karib yang tidak akan melepaskan peluang untuk berhubung hampir setiap hari. Kami kekalkan keadaan ini demi anak-anak. Saya selesa dengan keadaan ini, saya juga bersetuju dengan Kartina mendahulukan anak-anak kami. Soalnya di sini mereka tidak akan merasakan kehilangan daripada apa yang dilalui kami berdua.

Riezman pernah berkongsi impian untuk kembali bersama, bagaimana pula dengan usaha itu?

Sebagai seorang lelaki saya ada cuba tetapi kita kena tahu perkara sebegini perlu diserahkan kepada jodoh. Saya tidak mahu terlalu tertekan dengan keadaan ini memandangkan kebahagiaan kami adalah anak-anak kami. Selagi kami mampu bahagiakan anak-anak itu sudah memadai. Yang lain saya harap semuanya dapat doakan yang terbaik.

Bila peminat juga meletakkan harapan untuk Riezman dan Kartina kembali bersama, adakah ini satu tekanan?

Saya tidak lihat ini sebagai tekanan, jangan salah anggap hubungan saya dengan bekas isterinya sebenarnya sangat baik. Mungkin ikatan sebagai suami isteri itu tidak ada, tetapi saya dan dia tetap rakan baik yang boleh berkongsi apa sahaja. Malah bulan Ramadan lalu, selama dua minggu dia berada di Cafe milik saya untuk membantu. Kala itu memang ada yang salah faham ingat kami sudah kembali bersama, tetapi bila diterangkan baru mereka yang hadir itu faham bagaimana hubungan baik kami kini diteruskan sebagai rakan sahaja.

Kalau boleh Riezman kongsi cabaran menduda?

Bukanlah mahu tunjuk lagak, tetapi memang ada yang cuba mendekati. Cuma harus saya terus terang sukar sebenarnya bila hati saya tidak betul-betul terbuka. Mungkin saya perlu jumpa orang yang lebih baik daripada Kartina baru terbuka hati ini (ketawa).

Sambutan 1 Syawal lalu bagaimana?

Sedih untuk diceritakan, tetapi rutinnya tahun ini sangat berbeza. Jika tahun-tahun sebelum ini ada acara balik kampung bersama satu keluarga tetapi kali ini tidak ada. Mujur dua anak saya pulang ke Malaysia untuk menyambut hari raya bersama saya. Walaupun tidak berkumpul satu keluarga lagi, tetapi kami sedaya upaya melakukan perkara yang sama pada pagi raya lalu dengan bantuan teknologi.

Selain lakonan apa lagi fokus Riezman?

Saya kini dalam usaha penjenamaan semula cafe saya yang dahulunya dikenali sebagai RK Recepi Cafe kepada 55 Low Road Bistro & Cafe. Selain itu saya juga terlibat dalam membantu usahawan-usahawan baru dalam mengembangkan perniagaan mereka melalui bantuan beberapa bantuan agensi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!