6 Ogos 2015


JEMPOL - Seorang murid perempuan berusia 11 tahun tidak pergi ke sekolah di Bahau dekat sini, sejak beberapa hari lalu.

Murid tahun lima itu juga hairan kerana sejak dua tiga hari kebelakangan ini, dia kerap ‘diserang’ sakit perut secara tiba-tiba.

Semasa bangun pagi hari ini, keadaannya tidak beransur pulih malah menjadi lebih teruk.

Tidak tahan dengan ‘kesakitan’ yang dialaminya, dia kemudian memaklumkan kepada ibu, nenek dan bapa saudaranya, sebelum dihantar ke klinik berdekatan.

Sebaik sahaja tiba di sebuah klinik swasta, doktor yang memeriksanya terperanjat apabila mendapati budak perempuan itu rupa-rupanya mengandung dan sudah cukup bulan.

Dengan bantuan doktor tersebut, seorang bayi lelaki dilahirkan secara normal kira-kira pukul 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias berkata, semasa tiba di klinik kira-kira pukul 9.15 pagi, doktor yang merawat mengesahkan budak perempuan itu mengandung dan mengalami sakit perut kerana mahu melahirkan anak.

“Doktor memberitahu budak itu terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia sebenarnya hamil. Budak perempuan itu nyata tidak tahu mengenai kehamilan sebelum ini.

“Doktor kemudian menghubungi ambulans dari Hospital Jempol untuk membawa mangsa ke hospital namun dia bersalin kira-kira pukul 10.15 pagi di klinik tersebut sebelum ambulans sampai,” ujarnya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati budak perempuan itu masih bersekolah dan tinggal bersama ibu bapanya di pekan Bahau.

Hamzah berkata, bapa saudara mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Bahau kira-kira pukul 11 pagi.

“Budak perempuan bersama bayinya kemudian dihantar ke Hospital Jempol tetapi dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dirogol oleh lelaki yang dikenalinya.
Bagaimanapun, polis masih belum merekodkan keterangan kanak-kanak terbabit dan ahli keluarganya.

“Kita akan mendapatkan keterangan selepas keadaannya beransur pulih,” katanya.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!