6 Ogos 2015


Pas Kelantan menyifatkan Ge­rakan Harapan Baru (GHB) bukan wadah perjuangan yang diwariskan oleh bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai mana yang didakwa oleh pendukungnya.

Ketua Penerangan Pas negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud menegaskan, Nik Abdul Aziz tidak pernah meninggalkan jemaah, sebaliknya terus istiqamah meneruskan perjuangan bersama Pas walaupun parti itu pernah beberapa kali dilanda krisis dalaman.

“Kalau tengok sejarah Tok Guru (Nik Abdul Aziz), beliau tetap istiqamah dengan perjuangan Pas. Bila ditubuhkan Berjasa (Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia), Hamim (Parti Hizbul Muslimin Malaysia) dan gerakan Islah, Tok Guru tetap dalam Pas.

“Malah beliau meninggal dunia ketika menjadi wakil rakyat Pas. Jadi jangan nak kata penubuhan parti baru selaras dengan perjuangan Tok Guru,” katanya ketika berceramah di Markas Pas Kuala Krai di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohd. Nassuruddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat memberitahu, para pendukung GHB yang ingin menubuhkan parti baharu dan bersekongkol dengan DAP boleh disifatkan sebagai mereka yang mahukan kuasa semata-mata.

Beliau dalam pada itu berkata, hubungan Pas dengan DAP terjejas apabila parti itu mula lupa daratan selepas berjaya merampas Pulau Pinang daripada Barisan Nasional (BN) dan mengekalkan kuasa untuk penggal berikutnya.

“Dulu sebelum menang di Pulau Pinang, dia kata buat apa takut hudud kalau tak buat jahat. Siap cakap mahu ikut kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Tetapi selepas menang dua kali, dia bukan sahaja bercakap tentang perkara tidak setuju hudud malah menentang pelaksanaan hudud pula,” katanya.

Tegasnya, DAP juga merupakan pihak yang memulakan sengketa dengan PAS kerana memutuskan hubungan dengan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain menamatkan kerjasama di Sarawak dan Sabah.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!