27 Oktober 2015


Operasi Kebersihan Premis Makanan yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak seminggu lalu membongkar situasi sebenar tahap kebersihan restoran dan gerai di ibu negara.

Hampir kebanyakan premis makanan termasuk restoran yang popular dalam kalangan pelanggan didapati kotor dan tidak mematuhi garisan panduan kebersihan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Dalam operasi itu, lebih 60 peratus atau 142 daripada 221 restoran dan gerai yang diperiksa DBKL diarah tutup ekoran mengabaikan kebersihan.

Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk P. Gunaseelan berkata, operasi memeriksa kebersihan di premis makanan itu dijalankan berikutan penularan wabak demam kepialu ketika ini.

Jelasnya, pemeriksaan secara rambang itu dilakukan di sekitar Jalan Duta, Taman Tun Dr. Ismail, Jalan Cenderasari, Bukit Bintang, Jalan Semarak, Padang Tembak, Wisma Central, Jalan Masjid India, Jalan Mega Men­dung dan Kepong.

“Dalam operasi ini, tandas dan dapur di beberapa premis didapati dalam keadaan kotor sehingga mengundang kehadiran lipas dan tikus.

“Selain itu, pihak majikan juga gagal mendidik pekerja mengenai kebersihan dan ada antara mereka tidak memakai apron, topi atau sarung tangan ketika menyediakan makanan serta minuman,” katanya dalam sidang akhbar operasi itu di Kepong dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Hayati Abdullah.

Seramai 36 pegawai dan penguat kuasa DBKL menyertai operasi itu dan turut mengedarkan risalah mengenai ancaman demam kepialu kepada pekerja restoran dan orang ramai.

Menurut Gunaseelan, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan DBKL, mana-mana­ gerai di pusat penjaja akan ditutup jika mengambil warga asing bekerja.

“Bagi restoran pula, mereka dibenarkan menggaji warga asing sebagai tukang masak dan pelayan selagi mematuhi syarat-syarat DBKL yang melibatkan ujian kesihatan dan suntikan tifoid.

“Walau bagaimanapun, jika restoran terbabit dikesan menyebabkan penularan wabak kepialu, tindakan penutupan dan pembatalan lesen akan dibuat,” katanya.

Menurutnya, sejak Januari­ hingga Jumaat lalu, sebanyak­ 852 premis makanan diarah tutup atas pelbagai faktor terutamanya masalah kebersihan.

Katanya, DBKL telah mengeluarkan sebanyak 54 kompaun kepada peniaga yang melibatkan denda antara RM50 hingga maksimum RM2,000.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!