20 Oktober 2015


Kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga meragut 85 nyawa dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur-unsur paranormal atau mistik.

Menurut sumber, fenomena itu dipercayai wujud berdasarkan beberapa laporan daripada mangsa kemalangan kepada pihak polis.

Difahamkan, dalam aduan itu, ada mangsa mendakwa ternampak objek seperti lembaga sebelum berlaku kemalangan.

Malah turut difahamkan, aduan yang dibuat mangsa telah direkod oleh pihak polis.

Dalam pada itu, kira-kira 300 orang termasuk para pelajar sekolah pondok dan Sekolah Menengah Imtiaz menunaikan solat maghrib dan solat hajat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz di pekarangan Plaza Tol Ajil di sini malam ini bagi melindungi para pengguna daripada ditimpa musibah dan gangguan makhluk halus.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib; ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur, Ahmad Iskandar Abdul Kadir.

Sebelum itu, Menteri Besar telah diberi taklimat mengenai punca sebenar kadar nahas jalan raya di LPT2 termasuk kejadian yang mengorbankan enam sekeluarga di Kilometer 258.8 dekat Jabor pada 15 Oktober lalu.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Razif berkata, hasil daripada taklimat dan siasatan pihak-pihak berkenaan merumuskan kebanyakan kemalangan berpunca daripada kecuaian pengguna iaitu sebanyak 70 peratus.

Menurutnya, ia disusuli faktor persekitaran 14 peratus termasuk masalah permukaan beralun serta sembilan peratus lagi adalah faktor kenderaan.

“Daripada kajian, kemalangan berlaku di jalan lurus dengan keadaan jalan dan cuaca baik. Kita percaya pemandu memandu laju dengan kelajuan melebihi 120 km sejam,” ujarnya.

Justeru katanya, beberapa langkah drastik akan diambil bagi mengurangkan kadar nahas di LPT2 termasuk menempatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang turut dilengkapi peralatan bantuan di lokasi yang sering berlaku kemalangan.

“Kita juga telah meminta kerjasama pihak polis untuk menggandakan operasi perangkap had laju di sepanjang LPT2,” katanya.

Selain itu, Ahmad Razif berkata, beliau juga meminta pihak LLM memasang papan-papan tanda amaran di lokasi tertentu sebagai panduan dan peringatan kepada pengguna di lebuh raya itu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!