29 Oktober 2015


KEKECOHAN telah tercetus di pusat wilayah bisnes di Melbourne petang Selasa apabila seorang lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong daging secara tiba-tiba menawan sebuah restoran masakan Malaysia.

Lelaki yang dipercayai berusia 20-an itu telah menyebabkan pasukan polis bergegas ke lokasi dan mengosongkan premis tersebut. Pihak polis kemudiannya berunding dengan lelaki itu, yang berdiri di ruang jendela aras dua restoran berkenaan sambil menjeritkan permintaan-permintaannya.

Insiden tersebut berlangsung selama lebih kurang tiga jam sebelum pihak polis akhirnya dapat memujuk lelaki itu untuk menyerah diri.

Berikut adalah beberapa maklumat insiden yang dilaporkan media pada Selasa:

PELAKU

Menurut portal berita The Star, lelaki tersebut merupakan warga Malaysia yang dikenali sebagai "Panjang". Dia ialah pelanggan lazim di restoran Little Ipoh, tempat berlakunya insiden tawanan tersebut.

Lelaki itu dipercayai tinggal di Springvale iaitu kawasan pinggir bandar Melbourne. Dia tidak memiliki keluarga di Australia.

Sewaktu adegan tawanan di restoran itu, dia banyak kali menjerit dan meminta agar dapat bertemu ibunya.

Pihak polis memberi maklum balas kepadanya dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa akan menghubungi Jabatan Imigresen.

LOKASI

Drama mencemaskan itu belaku di restoran Little Ipoh di alamat 360 La Trobe Street, di sebatang jalan popular di Melbourne.

Jalan tersebut menempatkan pelbagai premis awam dam persendirian, termasuk beberapa buah kafe dan restoran.

Terdapat dua stesen kereta api bawah tanah di La Trobe Street iaitu stesen Flagstaff dan Melbourne Central. Kawasan tersebut juga dilintasi laluan tram City Circle, No. 24. 30 dan 43.

Sewaktu insiden itu berlaku, sistem pengangkutan awam dan lalu lintas terpaksa dilencongkan.

INSIDEN

Menurut portal berita 9news.com.au, pasukan polis operasi khas di Victoria telah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1 petang mengenai kekecohan di La Trobe Street melibatkan ‘lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong daging’.

Sejurus tiba, pasukan polis mengambil masa sejam untuk mengepung kawasan restoran Little Ipoh dan laluan di sekitarnya. Lelaki tersebut terus melaungkan permintaannya dari aras dua restoran tersebut.
Ketika itu, tiada pelanggan berada dalam restoran yang ditawan itu kerana sudah dibawa keluar dari premis berkenaan.

Pada jam 2.15 petang, lelaki yang telah memecahkan beberapa buah jendela di restoran itu dilihat melontar kepingan kaca besar kepada pihak polis.

Sekitar 15 minit kemudian, lelaki itu memakai cermin mata hitam dan menunjukkan isyarat ‘aman’ dengan jarinya kepada khalayak umum yang berkumpul di luar restoran.

Menurut berita news.com.au, lelaki itu turun selepas jam 3 petang setelah pegawai polis berunding dengannya menggunakan alat pembesar suara.

Dia telah dibawa dalam pengawasan dan kawalan polis sejurus keluar dari restoran itu. Pihak polis berkata, premis tersebut mengalami kerosakan sepanjang lelaki itu berada di dalam restoran berkenaan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!