28 Oktober 2015


Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu ingin menjadi pembangkang yang beradab di dalam Dewan Rakyat dengan mengamalkan pendekatan menerang bukan menyerang.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas mahu melaksanakan proses demokrasi yang beradab dan berakhlak di samping tidak melupakan konsep raja berperlembagaan selain memelihara konsep masyarakat majmuk.

“Ini sikap kita kerana kita bukan hendak tunjuk perasaan, kita mahu jadi ahli Parlimen yang membangkang secara beradab,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sebahagian ahli Parlimen pakatan pembangkang yang bertindak mengangkat plakad ‘Mana RM2.6b’ sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, pada Jumaat lalu.

Abdul Hadi juga menegaskan, Pas akan menjalin kerjasama dengan semua parti termasuk kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam semua perkara yang baik.

Oleh itu, kata beliau, parti tersebut bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengemukakan perkara-perkara yang tidak dipersetujui secara baik termasuklah dalam isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Kita ada cadangan dalam soal untuk memungut hasil kerajaan. Kita juga ada cadangan dalam isu kejatuhan nilai ringgit dan bagaimana hendak mempertahankannya. Kita akan bertemu kerajaan untuk kemukakan cadangan,’’ katanya.

Jelas beliau, ia merupakan satu pendekatan baharu dengan semua pihak dalam menyelesaikan isu rakyat dan bukannya titik permulaan untuk menjalinkan kerjasama seperti mewujudkan kerajaan campuran.

“Kita pernah mempunyai pengalaman dalam kerajaan campuran, kita hanya mahu bekerjasama dalam perkara baik bukan perkara tidak baik termasuklah dengan DAP dan PKR,” katanya.

Mengenai pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), Abdul Hadi menyifatkan pakatan tersebut umpama ‘bas ekspres’ yang tidak mungkin akan sampai ke destinasi sebenar.

Justeru tegasnya, Pas tidak akan naik ‘bas’ tersebut kerana tidak mampu menjayakan matlamat perjuangan parti berkenaan.

“Kita tidak akan menyertai sebarang langkah perjuangan yang tidak mencapai matlamat kita. Kita tidak mungkin naik ‘bas ekspres’ yang tidak sampai destinasi yang nak pergi.

“Kita tidak ada harapan dengan yang tidak sampai di destinasi. Naik bas untuk ke Kuantan tetapi guna jalan Kuala Lipis, mana boleh sampai?,” katanya.

Abdul Hadi menegaskan, Pas tidak mempunyai masalah untuk menjadi parti pembangkang bersendirian.

“Ini kerana Pas sudah lama bersendirian dan kita percaya banyak parti lain bergantung kepada kita. Kita ada akar umbi kuat, kamu saksi sendiri pihak lain membuat demonstrasi, apabila Pas tidak hadir maka tidak ada orang,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!