28 Oktober 2015


Pelakon lelaki, Bront Palarae tidak merasakan dirinya tercabar mahupun tergugat dengan kemunculan pelakon-pelakon muda yang bertubuh sado dan mantap.

Bagi dirinya setiap pelakon itu mempunyai perancangan dan agenda masing-masing agar terus diminati penonton dan disayangi peminatnya.

“Pelakon yang menjaga susuk tubuh badan agar kelihatan sado itu adalah hak mereka. Saya selesa dengan tubuh badan sendiri yang nampak biasa dan normal.

“Jadi perwatakan saya ini adalah mewakili orang-orang biasa yang berada di luar sana yang saya rasakan ia lebih dekat dengan hati mereka.

“Jadi apabila melakonkan sesuatu watak dalam sebuah drama mahupun filem, tubuh badan saya ini adalah yang paling ramai dimiliki oleh masyarakat luar.

“Saya tidak merendahkan kelebihan pelakon yang berbadan sado, saya pun ramai kawan yang sebegitu dan tidak beri apa-apa masalah kepada karier lakonan,” kata Bront kepada portal Murai.com.my

Bront Palarae yang ditemui media di Majlis Pelancaran Filem Baru Terbitan Astro Shaw Olabola di Stadium Merdeka baru-baru ini turut memberitahu kemunculan pelakon baru yang berbadan sado ini antara daya tarikan untuk melariskan lagi produk filem mahupun drama.

“Kalau kita lihat telenovela yang beratus-ratus episod dari negara Latin, majoriti pelakon mereka berbadan sado. Ia mewujudkan sesuatu fantasi yang unik agar penonton tidak bosan menonton.

“Ditambah lagi dengan kehendak produser dan pengarah yang mahukan mereka tampil lebih gagah dan tegap. Maka pelakon itu kenalah berkorban untuk ‘shape’ badan mereka.

“Apa-apa pun setiap pelakon itu mempunyai ‘market’ masing-masing dan semuanya terletak pada rezeki yang diturunkan dari-Nya,” seloroh Bront sambil tersenyum lebar.

Menyentuh mengenai wataknya dalam Filem Olabola, Bront memegang watak sebagai Rahman bertindak sebagai pengulas sukan.

Filem arahan Chiu Keng Guan yang juga pengarah filem box office ‘The Journey’, penggambaran masih giat dijalankan dan dijangka akan ditayangkan pada awal Februari 2016.

“Saya lihat filem ini ada daya kekuatan dan tarikan sendiri yang mengetengahkan kegemilangan nostalgia bola sepak negara sekitar tahun 50an.

“Ia juga dapat membangkitkan semula semangat perpaduan antara kaum yang rata-rata masyarakat kita yang gemarkan bola sepak, saya rasa filem ini berada dilandasan yang tepat,” katanya mengakhiri bicara.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!