22 Oktober 2015


Dalang penyeludupan manusia dilapor mencari laluan baharu ke Malaysia selepas pihak berkuasa Thailand menumpaskan sindiket pemer­dagangan manusia yang berpusat di selatan negara ini, baru-baru ini.

Pengasas Projek Arakan, sebuah pertubuhan hak kemanusiaan yang membela hak etnik Rohingya, Chris Lewa berkata, ketiadaan bot-bot besar dari Myanmar dan Bangladesh ke pantai negara-negara Asia Tenggara dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini bukan bermakna sindiket tersebut berjaya ditumpaskan sepenuhnya.

“Saya percaya, kumpulan sindiket mencari laluan baharu menggunakan jalan darat.

“Kali ini mereka mungkin tidak menggunakan bot. Tindakan Thailand menumpaskan jaringan sindiket sebelum ini mengubah modus operandi mereka,” ujarnya.

Jelas Lewa, pihaknya kini memantau kemungkinan sindiket mencari laluan baharu sama ada menggunakan udara atau darat supaya mereka tidak perlu berpindah bot.

“Sindiket tidak lagi menjalankan operasi seperti dulu, kali ini lebih rahsia,” katanya.

Tindakan kekerasan pihak berkuasa Thailand pada Mei lalu terhadap penyeludupan dan pemerdagangan manusia telah menghalang kemasukan bot besar di Teluk Bengal ke Thailand dan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International memberi amaran, sindiket pemerdagangan manusia di rantau Asia Tenggara boleh berulang kembali sekiranya kerajaan terlibat lambat bertindak.

“Operasi sindiket pemerdagangan manusia diramal berlaku lagi di Laut Andaman jika kerajaan negara terlibat gagal bertindak pantas,” kata Penyelidik Pelarian Amnesty International, Anna Shea.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!