21 Oktober 2015


Pihak berkuasa akan menarik balik lesen perniagaan restoran makanan segera di ibu negara yang masih menggunakan khidmat pekerja asing di bahagian dapur berikutan penularan wabak demam kepialu sejak Ogos lalu.

Menteri Wi­­layah Per­sekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan larangan penggunaan pekerja asing sebagai tukang masak dan melakukan pemantauan untuk mengesan majikan yang ingkar.

Katanya, larangan itu te­lah dikeluarkan sebelum ini, namun masih banyak majikan yang tidak mematuhinya, justeru satu pertemuan dengan setiap majikan akan turut diadakan dalam tempoh terdekat bagi mengingatkan mereka.

“Saya sudah cakap sebelum ini kalau banyak sangat pekerja asing jadi tukang masak, akan berlaku masalah. Dulu bila saya sebut mengenai tikus orang marah, bila cakap pasal peminta sedekah pun orang marah juga tetapi sekarang apa sudah jadi.

“Inilah masalah yang berlaku, saya bercakap tetapi semua pihak termasuk pembangkang memutar belit kenyataan saya, jadi sekarang saya minta bahagian pelesenan buat pemantauan dan jumpa setiap peniaga, kalau tidak ikut peraturan tarik balik lesen,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan wabak kepialu telah menular di ibu negara selepas 32 kes direkodkan sejak minggu pertama bulan Ogos sehingga Sabtu lalu.

Penyakit tersebut dikesan dalam kalangan buruh kontrak di Cheras manakala dua daripada 10 buruh kontrak yang diperiksa didapati positif.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua peniaga Melayu dan bumiputera di pusat perniagaan Ampang Park akan ditempatkan di lokasi perniagaan baharu berikutan kawasan tersebut bakal dirobohkan untuk pembinaan Stesen Transit Aliran Massa.

“Kerajaan memberi jaminan semua peniaga Melayu, bumiputera dan kecil-kecilan yang terjejas akan dibantu, mereka tidak akan diabaikan sama sekali, kami akan cari lokasi perniagaan baharu untuk mereka,” tegasnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!