27 November 2015


Gara-gara gagal mengenali majikan mereka, dua pekerja di China dipecat selepas bertindak memarahi bos yang juga seorang jutawan elektronik dari Taiwan yang menegur mereka kerana merokok.

Menerusi rakaman video yang kini tersebar di media sosial di China, dua pekerja kilang di Shenzhen, selatan China itu dipecat serta merta oleh jutawan, Terry Gou selepas kedua-dua staf ber­kenaan memarahinya, dalam satu kejadian yang dipercayai tidak disengajakan.

Terdahulu, Gou yang mempunyai kekayaan bernilai 3.91 bilion pound (RM24.7 bilion) membuat pemeriksaan dan baru selesai makan tengah hari di sebuah kantin di kilang Foxconn Long Hua di Shenzen.

Dia kemudiannya mengesan dua kakitangan itu sedang me­rokok di luar kantin yang merupakan kawasan larangan merokok sebelum menegur mereka supaya berhenti, dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 23 November lalu.

Namun tanpa diduga, kedua-dua pekerja itu bertindak menjawab teguran majikannya, ‘Siapa awak? Ini bukan urusan anda’.

Berang dengan reaksi balas pekerja berkenaan, Gou bertindak memecat pekerjanya serta merta.

Dalam rakaman selama tujuh saat itu, Gou boleh didengar berkata: ‘Foxconn tidak memerlukan staf seperti kalian’.

Sejak insiden itu tersebar, banyak kilang pembuatan di China bertindak meningkatkan penguatkuasaan larangan merokok.

Malah, setiap pekerja diingatkan supaya mengenali majikan mereka.

Gou merupakan pengasas Foxconn yang juga dikenali sebagai Hon Hai Precision iaitu pengilang elektronik terbesar di dunia yang menghasilkan komponen untuk syarikat Apple, Sony, dan Nokia.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!