26 November 2015


Langkah menghalang media membuat liputan Perhimpunan Agung Umno 2015 hanya akan mengundang persepsi negatif ahli parti di peringkat akar umbi.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, ini kerana tidak semua ahli berpeluang berada di dalam dewan.

"Hanya perwakilan berada dalam dewan. Ahli Umno lain akan mengikuti perkembangan, suasana dan isu yang dibangkitkan dalam perbahasan menerusi laporan media massa.

"Umno ada tiga juta ahli bagaimana mereka nak tahu jika ia tersekat di dalam dewan. Dibimbangi akar umbi akan merasakan bahawa Umno ini bukan lagi sebuah parti inklusif tetapi eksklusif," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor  memaklumkan yang Ahli Majlis tertinggi telah memutuskan yang media tidak dibenar membuat liputan perbahasan perwakilan Umno sepanjang persidangan itu berjalan.

Sementara itu, Mohd Azizuddin menambah, walaupun dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun  Hussein akan memberikan sidang media setiap hari mengenai perkembangan persidangan, ia belum pasti dapat memuaskan hati ahli Umno.

"Ia soal keyakinan seseorang itu sendiri apabila ia disampaikan oleh pihak ketiga. Melihat perkembangan secara langsung berbeza dengan apa yang diceritakan semua.

"Umno sebuah parti terbesar di negara ini, mungkin akan ada banyak spekulasi dan dakwaan apabila liputan persidangan ini tidak dapat dilakukan secara menyeluruh. Ini hanya akan merugikan Umno," katanya.

Malah katanya, Umno mungkin akan berdepan lebih banyak fitnah dan dakwaan sepanjang perhimpunan tersebut.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!