25 November 2015


“Saya tegaskan sekali lagi saya bukan isteri Awie. Saya tidak mahu dikaitkan sebagai isteri dia dalam apa juga kenyataan melibatkan isu kami kerana kami telah bercerai secara fasakh di Thailand pada 1 Disember tahun lalu,” tegas Rozana Misbun.

Rozana juga menegaskan, statusnya sebagai bekas isteri pe­nya­nyi rock itu telah diketahui oleh banyak pihak namun dia masih dirujuk sebagai isteri penyanyi itu kerana tiada pengesahan dibuat oleh Awie mengenai status perkahwinan mereka di negara ini.

“Buat sekian kalinya saya te­gaskan saya bukan lagi isteri dia (Awie), saya hendak jelaskan hal ini dan dia boleh nikah lain,’’ katanya kepada pemberita di lobi kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Teka-teki mengenai status per­kahwinan Rozana, 37, dengan Awie juga terjawab apabila dia turut menunjukkan surat pengesahan perceraian secara fasakh yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand pada 1 Disember 2014.

Surat itu ditandatangani dan mempunyai cop pengesahan Tim­balan Yang Dipertua majlis tersebut dan turut disahkan penerimaannya oleh Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla.

Berdasarkan surat tersebut, permohonan cerai secara fasakh yang dibuat Rozana dibenarkan majlis itu bagi mengelak kemudaratan besar kepada wanita ber­kenaan dengan mengambil kira surat perintah perlindungan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kepada Rozana.

Surat itu turut menyebut pernikahan antara Rozana dan Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, mengikut surat nikah yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla itu pada 20 Jun 2005 difasakh oleh majlis berkenaan demi menahan kemudaratan terhadap Rozana.

Dalam permohonan perceraian itu, Rozana turut melampirkan gambar-gambar kecederaan dialaminya yang didakwa dipukul oleh Awie dan kes itu kini di peringkat perbicaraan di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini.

Rozana juga berkata, keengganan Awie untuk mendaftar pernikahan mereka itu telah me­nimbulkan pelbagai kesulitan ter­utama melibatkan kebajikan anak-anak mereka.

Walau bagaimanapun dia ne­kad untuk memfailkan permohonan nafkah bagi anak-anaknya sejajar syariat Islam berikutan tindakan Awie yang tidak membayar sebarang nafkah terhadap dua anaknya sejak mereka diserahkan kepadanya pada Februari lalu.

Jelas wanita itu, Awie tidak perlu mempertikaikan kemam­puannya untuk menjaga anak-anak mereka sebaliknya menye­rahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara tersebut.

“Kalau dia tak nak bagi (nafkah anak) saya reda, tetapi dia jawablah di akhirat nanti,” tegas Rozana.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan hak penjagaan sementara tiga anak pasangan itu iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, diserahkan kepada Rozana sementara menunggu perintah kekal hak penjagaan dikeluarkan mahkamah.

Walau bagaimanapun Putra Ahmad Merrah kini masih di bawah jagaan Awie.

Sementara itu, Rozana hadir di mahkamah hari ini bagi mende­ngar sebutan kes tuntutan nafkah sementara bagi Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha di hadapan Pendaftar Mahkamah Syariah, Nor Faiz Afsal Abu Bakar.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!