12 November 2015


PERUMPAMAAN ukur baju di badan sendiri mungkin menjadi pendekatan paling sesuai buat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam membentuk skuad The Red Warriors  (TRW) berwajah baharu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa membayangkan kesediaannya untuk melepaskan pemain berstatus bintang yang menuntut gaji tinggi setelah sedar tidak mampu bertahan dengan kuasa wang mengendalikan perbelanjaan pasukan.

Menurutnya, pihaknya masih berunding dengan pemain untuk kekal bersama Kelantan namun pada masa sama tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan mereka diberi peluang untuk mencari majikan baharu musim depan.

“Itu satu perkara biasa dan kita masih memikirkan bentuk adunan sesuai pasukan ini untuk musim depan. Kita hendak cari pemain muda, serius dan lapar (betul-betul mahu bermain), jadi ia kena ambil masa sedikit.

“Musim ini banyak dirosakkan pemain yang bergaji mahal, tak padan dengan status sedangkan sumbangan tidak seberapa. Kalau mereka masih hendak bertahan dengan gaji itu (mahal), maka kita terpaksa lepaskanlah,” katanya kepada media di Kota Bharu, semalam.

Difahamkan, hanya 12 pemain tempatan yang masih memiliki kontrak sehingga musim depan ditawarkan untuk terus kekal menyarung jersi bekas juara tiga piala musim 2012 itu namun mereka dikatakan ditawarkan gaji lebih rendah berbanding tahun ini.

Annuar turut mendedahkan skuad pantai timur itu bakal menghadapi saingan liga musim depan dengan penuh mencabar sedangkan persatuannya ketika ini mengalami defisit hampir RM3 juta.

“Masalahnya kita tak berkemampuan kerana tiada dana. Semua pasukan lain ada bajet besar belaka, Pulau Pinang sudah pun isytihar RM18 juta, Melaka RM14 juta, Selangor pula RM20 juta tapi kita kosong.

“Hutang RM3 juta sebelum bermula musim depan. Hutang (caruman) KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pun tak boleh bayar. Kalau tak bayar tak boleh daftar (pasukan) dan belum tentu lagi kita boleh bermain (sertai Liga-M) musim depan,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!