13 November 2015


Keputusan kerajaan PKR Selangor untuk menaikkan tarif air sebaik sahaja proses penyusunan semula industri air di negeri ini selesai sepenuhnya dianggap tidak munasabah serta bercanggah dengan semangat dan hasrat asal pengambilalihan tersebut.

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mengikut perancangan awal, kenaikan tarif hanya akan dipertimbangkan selepas tiga hingga empat tahun penstrukturan tersebut dengan sebarang kenaikan dijamin tidak melebihi 12 hingga 15 peratus setiap tiga tahun.

Menurutnya, turut menimbulkan persoalan ialah tentang syarikat yang dilantik sebagai penilai bebas bagi nilai pampasan ekuiti kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan caj perundingan yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri.

“Saya amat terkejut dan terkilan dengan perubahan mendadak kepada da­sar-dasar awam seumpama ini kerana banyak lagi usaha yang perlu dan boleh dilakukan sebelum langkah drastik menambah beban rakyat ini diambil.

“Sebagai contoh, me­nge­lakkan pemba­ziran dan ketirisan dalam kos operasi dengan memotong perbelanjaan yang tidak perlu, mengurangkan kontrak berlapis-lapis dan menghentikan serta-merta penganugerahan subkontrak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang dalam pada itu menggesa agar satu badan pengawasan bebas industri air ditubuhkan dengan fungsi memantau metodologi penetapan tarif dan mutu perkhidmatan, di samping mengesahkan justifikasi dan legitimasi keperluan menaikkan tarif air.

“Ini untuk memastikan hak dan kepentingan rakyat terpelihara sejajar dengan tujuan utama penstrukturan semula industri air dilaksanakan iaitu supaya rakyat boleh menikmati perkhidmatan air yang lebih efisien dan pada tarif berpatutan.

“Pemimpin pakatan pembangkang terutama PKR dan DAP yang jarang melepaskan peluang menggasak dan menghentam Barisan Nasional (BN) tetapi kini diam seribu bahasa apabila berhadapan kepincangan rumah sendiri di Selangor dan Pulau Pinang. Tibalah masanya untuk hentikan sikap hipokrit dan berdolak-dalik,” ujarnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!